Pembantu Rumah Indonesia Akan Dihantar Ke Malaysia Tidak Lama Lagi

Diterbitkan: Jumaat, 27 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pembantu rumah Indonesia akan dihantar dua bulan selepas proses menandatangani MoU. Foto AZHAR MAHFOF/The Star
Pembantu rumah Indonesia akan dihantar dua bulan selepas proses menandatangani MoU. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

PETALING JAYA: Jalan penyelesaian terbaik mungkin akhirnya dapat diputuskan bagi menangani isu pembantu rumah Indonesia untuk datang bekerja di Malaysia yang tertangguh selama dua tahun.

Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (Apkati), yang membekalkan pembantu rumah kepada agensi di Malaysia, memberi jaminan bukan saja akan menyediakan bekalan pembantu rumah Indonesia dengan stabil tetapi menetapkan kadar bayaran RM7,800 seperti yang dipersetujui kerajaan kedua-dua negara pada September lalu.

Pengerusi Apjati, Ayub Basalamah memberitahu The Star, mereka akan mematuhi syarat-syarat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipersetujui kedua-dua negara pada 2011 dan kos bayaran sebanyak RM7,800.

Apjati kini sedang berbincang dengan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) untuk menyelesaikan bekalan pembantu rumah ke Malaysia.

Antara ketetapan dalam MoU berhubung pengambilan pembantu rumah termasuk latihan selama 200 jam dan cuti rehat satu hari setiap minggu bagi kumpulan itu.

Pada September lalu, kerajaan kedua-dua negara turut bersetuju menetapkan kos bayaran sebanyak RM7,800 di mana RM6,000 dibayar oleh majikan manakala baki RM1,800 akan ditolak menerusi gaji bulanan pembantu rumah selama enam bulan.

Ayub berkata, kesukaran utama dalam menarik pembantu rumah untuk bekerja di Malaysia adalah bayaran lebih tinggi yang ditawarkan oleh negara-negara lain seperti di Timur Tengah, Singapura dan Taiwan.

"Agensi-agensi tidak bertanggungjawab turut mengenakan bayaran keterlaluan sekali gus menjejaskan pasaran. Mereka berurusan secara langsung dengan agensi-agensi di Malaysia tanpa melalui persatuan yang telah diberikan kuasa," katanya.

Ayub turut menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk tidak meluluskan permohonan visa pembantu rumah dari agensi-agensi yang bukan merupakan ahli Apjati.

"Agensi-agensi tersebut mahu membuat keuntungan segera dengan mengenakan bayaran melampau sebanyak RM14,000 bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat pembantu rumah," katanya.

Presiden Papa tidak dapat dihubungi, tetapi menurut sumber dari Kementerian Sumber Manusia, agensi tersebut dan Apjati telah dimaklumkan bahawa MoU yang baharu itu harus menepati syarat-syarat sedia ada yang telah dipersetujui kedua-dua negara.

"Papa dan Apjati telah memaklumkan kepada kementerian bahawa mereka sanggup mematuhi syarat-syarat itu," menurut sumber.

Terdahulu, Presiden Papa, Jeffrey Foo dipetik sebagai berkata, beliau menjangkakan MoU baharu itu akan ditandatangani sebelum perayaan Tahun Baru Cina, bulan depan dan pembantu rumah akan mula dihantar ke Malaysia, dua bulan selepas proses menandatangani perjanjian tersebut.

Menurut sumber, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) juga mungkin akan disenaraikan dalam MoU baharu itu.

Presiden Pikap, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata bayaran kepada agensi sepatutnya dinaikkan kerana struktur kos semasa adalah terlalu rendah bagi menarik pembantu rumah Indonesia untuk bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, daripada bayaran RM7,800 itu, RM3,000 akan dibayar kepada agensi di Malaysia manakala baki RM4,800 akan digunakan untuk mengenalpasti pembantu rumah yang disediakan dengan 'membeli' biodata pemohon pekerjaan dari agensi-agensi pembantu rumah Indonesia.

"Sebab mengapa pembantu rumah itu tidak datang kerana agensi Indonesia hanya akan menghantar pembantu rumah pada kos RM6,500, yang turut dibayar oleh agensi dari negara lain," katanya.

Beliau menafikan bahawa agensi-agensi pembantu rumah di Malaysia memperoleh keuntungan besar.

"Keuntungan kasar bagi setiap pembantu rumah hanya sebanyak RM635. Dalam kebanyakan kes, ia mungkin lebih rendah kerana agensi-agensi tersebut harus membelanjakan lebih banyak dalam urusan perjalanan dan kos lain untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pembantu rumah sebaik saja mereka diambil bekerja di sini.

"Sekiranya Apjati boleh meyakinkan dan memberi jaminan bahawa ahli-ahlinya akan menjual biodata pembantu rumah kepada kami pada harga ditetapkan iaitu RM4,800, maka kami akan bersetuju dengan kos semasa RM7,800," katanya.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan