Tragedi Tsunami 2004 Masih Segar Dalam Ingatan Penduduk Kota Kuala Muda

Diterbitkan: Khamis, 26 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PANTAI MERDEKA: Hari ini, genap sembilan tahun bencana tsunami melanda rantau ini dan tragedi itu masih segar dalam ingatan penduduk kampung di sekitar Kota Kuala Muda di sini, malah kesannya juga masih jelas kelihatan sehingga sekarang.

Tinjauan Bernama di sini mendapati bencana itu membawa banyak perubahan terhadap penempatan dan corak kehidupan penduduk setempat. Penduduk mangsa tsunami men dirikan rumah lebih jauh dari pesisir pantai.

Selain arca timbunan bot yang dibina di simpang laluan utama ke kawasan itu, deretan rumah yang musnah akibat ombak tsunami dikelilingi pagar dibina khas pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang penduduk Kampung Tepi Sungai, Mansor Morad, 66, berkata rumahnya yang terletak berhampiran pantai juga tidak terlepas daripada dibadai ombak tsunami, namun dia bersyukur kerana rumahnya tidak musnah sepenuhnya.

Mengimbas kembali tragedi itu, Mansor berkata dia bersama keluarganya serta jiran berkumpul di atas tembok batu untuk melihat fenomena aneh di pantai itu selepas mereka mendengar bunyi kuat seperti angin kapal terbang datang dari arah laut.

"Laut bukanlah asing bagi nelayan seperti saya namun kejadian itu membuatkan bulu roma saya 'terpacak'. Ombak pertama datang terlalu cepat menyebabkan kami lari lintang-pukang, datang pula ombak kedua yang lebih tinggi memusnahkan banyak rumah dan menyebabkan lebih 10 orang penduduk di kampung ini maut.

"Ketika itu kami hanya fikir untuk menyelamatkan diri, mujurlah sebelum itu saya tergerak hati untuk menyimpan dokumen penting di dalam poket baju Melayu yang disangkut di tingkat atas rumah. Barang dan peralatan di tingkat bawah memang musnah semua," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Akmal Marzuki, 28, berkata sewaktu tsunami 2004 melanda, dia yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Langkawi, pulang ke kampung untuk cuti semester.

"Kebetulan hari itu, kedua ibu bapa pergi ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tinggal saya dan adik, Mohd Noor Azmeer (21 tahun) di rumah.

Semasa kejadian itu, pukul 1 tengah hari saya berada di rumah kenduri dan selepas ombak pertama membadai, saya bergegas pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatan adik saya.

"Rupanya dia berada di pekan dan sejurus selepas saya meninggalkan rumah, ombak kedua datang dan rumah kedai kami musnah dihanyutkan air berlumpur. Tidak ada apa yang sempat diselamatkan.

Hanya peti ais sahaja yang ditemui semula dan masih digunakan sehingga kini," katanya yang mendirikan semula kedai di lokasi sama tidak lama selepas kejadian itu.

Bagi Yusoff Yahya, 72, dari Kampung Masjid pula, dia trauma setelah hampir dihanyutkan ombak tsunami namun bersyukur kerana usianya masih panjang dan terselamat daripada musibah kerana sempat berpaut pada pohon mempelam berhampiran rumahnya.

"Dua lagi saudara turut berpaut pada saya ketika itu, saya peluk pokok itu dengan kuat agar tidak terlepas. Rumah saya tidak terjejas teruk namun peristiwa itu akan saya kenang sampai bila-bila. Seminggu kami tidak dapat tidur lena.

"Namun kini saya gembira kerana banyak perubahan dilakukan dari segi keselamatan termasuk sistem penggera yang dipasang untuk memberi amaran tsunami kepada penduduk," katanya.

Yusoff berkata pada hari kejadian, tiada sebarang perubahan cuaca malah banjir teruk juga tidak pernah terjadi, namun peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya dan berharap ia tidak berulang. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan