Dasar Kerajaan Berhasil Lahirkan Rakyat Kelas Profesional - Najib

Diterbitkan: Selasa, 24 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MAKKAH: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan memberi fokus terhadap dunia pendidikan berhasil melahirkan golongan rakyat kelas profesional yang berani bersaing di persada antarabangsa.

Perdana menteri berkata ini menunjukkan tahap keyakinan rakyat Malaysia semakin bertambah berbanding masa lepas.

"Jika tidak melalui pemberian biasiswa dengan peruntukan besar dan penubuhan institusi pengajian tinggi, tidak mungkin wujud golongan sedemikian dalam kalangan rakyat.

"Mereka lebih terpanggil untuk melihat peluang di persada antarabangsa, tak rasa kekok atau tertekan untuk bersaing dengan orang lain," katanya kepada wartawan Malaysia di hari terakhir lawatan kerjanya di sini.

Usaha kerajaan yang tidak pernah kenal jemu akhirnya dapat meningkatkan tahap keyakinan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mencari peluang di pentas antarabangsa, katanya.

"Siapa dapat fikirkan mengenai projek pembesaran Masjidil Haram dan Menara Jam terbesar di dunia dengan penyertaan rakyat Malaysia dalam aspek-aspek berkenaan?" soal Najib.

Perdana menteri juga berkata lawatan kerja beliau di sini dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan juga antara rakyat dengan rakyat serta membuka pelbagai peluang kepada rakyat Malaysia.

Sambil menghargai layanan dan kemudahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada beliau untuk menyempurnakan ibadah umrah, beliau berkata melalui hubungan erat ini, membolehkan golongan profesional rakyat Malaysia menyertai projek-projek mega di serata dunia.

Najib berkata ini merupakan contoh terbaik kejayaan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia terkenal di persada dunia.

"Saya lihat dalam konteks pembangunan di Arab Saudi banyak peluang yang boleh diusahakan dan saya percaya beberapa peluang yang sedang difikirkan dan dibincang mungkin boleh jadi kenyataan tak lama lagi," katanya.

Najib diberi layanan sebagai tetamu negara ketika tiba di Madinah untuk lawatan kerja empat harinya di Arab Saudi sejak Sabtu lepas.

Najib kemudian bertemu 150 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang turut mengiringi perdana menteri dalam lawatan itu menziarahi makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di dalam Masjid Nabawi pada sebelah malam.

Pada Ahad malam, Najib memasuki Makkah dan menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram.

Pada pagi Isnin, perdana menteri bertemu rakyat Malaysia di Restoran D'Saji dalam suasana santai sambil bersarapan.

Dalam kesibukannya sebagai perdana menteri, Najib telah ke tanah suci menunaikan ibadah haji bersama Rosmah pada 2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan