KP ESSCOM Zahir Rasa Syukur Wanita Taiwan Diculik Selamat

Diterbitkan: Sabtu, 21 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek menzahirkan rasa syukur wanita warga Taiwan yang diculik kumpulan bersenjata di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada 15 Nov lepas, berjaya diselamatkan pihak berkuasa Filipina.

"Kita bersyukur kerana warga Taiwan yang diculik di Pulau Pom-Pom berjaya diselamatkan. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan Filipina yang berjaya menyelamatkan mangsa culik itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Mohammad berharap insiden seperti itu tidak akan berulang dan pasukan keselamatan akan sentiasa bekerja keras untuk memastikan Zon Keselamatan Khas Timur Sabah (Esszone) selamat.

Beliau juga berharap semoga pihak pengusaha pusat pelancongan sentiasa memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan khususnya yang bertugas di kawasan pusat peranginan mereka.

Pengesahan berita itu dimaklumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya petang Jumaat.

Khalid berkata wanita itu yang diselamatkan di Sulu, kini berada di Hospital Merin, Sulu dan akan diterbangkan ke Zamboanga City hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi 15 Nov, seorang pelancong lelaki warga Taiwan, 57, ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, manakala rakan wanitanya yang berusia 58 tahun hilang, dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata yang menceroboh bilik penginapan mereka di pulau berkenaan.

Dalam kes itu, polis turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 3 pagi, 1 Dis lepas.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan