Yudhoyono Sentiasa Jadi Sahabat Kini Dan Selama-Lamanya - Najib

Diterbitkan: Khamis, 19 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengungkapkan hubungan persahabatannya dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sebagai sahabat yang kekal untuk selama-lamanya.

Ungkapan itu disampaikan pada sidang akhbar bersama Yudhoyono di akhir pertemuan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia yang berlangsung di Istana Merdeka, Kompleks Istana Presiden Indonesia di sini.

"Di atas kejayaan dan kesan kepimpinan Presiden Susilo dan Indonesia, kami (Malaysia) amat berterima kasih dan sanjung tinggi dengan apa yang disumbangkan. "Saya telah katakan bahawa perhubungan saya dengan Bapa Presiden (Yudhoyono) melewati hubungan formal. Jadi we will always be friends now and forever (kami akan sentiasa menjadi sahabat kini dan selama-lamanya), Insya-Allah," kata Najib disambut tepukan gemuruh para anggota delegasi dari kedua-dua negara yang turut hadir di sidang akhbar bersama itu.

Najib sebelum itu menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap sumbangan Yudhoyono dan Kerajaan Indonesia menjayakan dua acara besar baru-baru ini iaitu sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mesyuarat peringkat menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Yudhoyono, yang menjadi Presiden Indonesia selama dua penggal, akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Negara republik itu menjelang September tahun depan memandangkan perlembagaan Indonesia mengehadkan jawatan presiden untuk disandang selama dua penggal sahaja.

Rundingan Tahunan kali ini merupakan yang keempat antara Najib dan Yudhoyono sejak tahun 2010. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan