'Tarik Balik Dakwaan Syiah Atau Akan Saman' - Mat Sabu

Diterbitkan: Rabu, 18 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau akan membuat laporan polis ke atas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwanya sebagai pengikut Syiah, sebelum memfailkan saman fitnah.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini Selasa, Mohamad mendakwa Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, adalah dalang di sebalik tuduhan yang berniat jahat untuk menjejaskan maruah dan integriti beliau.

"Peguam saya turut meneliti ucapan Zahid yang mengaitkan saya dengan Syiah dan saya percaya berlaku penyalahgunaan kuasa daripada pihaknya," kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, Zahid berkata PAS telah memilih pengikut Syiah sebagai pemimpin No.2 PAS dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kuasa kepada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk bertindak.

Mat Sabu menyifatkan kenyataan itu sebagai 'penyalahgunaan kuasa' kerana Jakim bukan di bawah bidang kuasa KDN dan oleh itu, ia tidak mempunyai asas untuk mengambil tindakan terhadapnya.

"Insya-Allah, saya akan membuat laporan polis terhadap Zahid di atas kenyataannya yang tidak bertanggungjawab. Saya berharap polis akan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau berat sebelah ketika menjalankan siasatan," kata Mat Sabu.

Mat Sabu turut berkata, beliau tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut selepas ini sehingga ia dibawa ke mahkamah oleh peguamnya.

"Bermula hari ini, saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam saya dan tidak akan memberi sebarang penjelasan atau kenyataan berhubung isu ini. Saya tidak akan melayan perkara ini sehingga ia dibawa ke mahkamah," katanya.

Peguam Mat Sabu, Mohamad Hanipa Maidin, yang turut hadir berkata, satu surat tuntutan telah dihantar kepada Zahid pada minggu ini yang meminta beliau untuk memberi maklum balas dalam tempoh tiga atau empat hari.

"Kami belum membuat keputusan tetapi kami akan menghantar surat tuntutan yang meminta beliau supaya menarik balik kenyataannya dan meminta maaf. Jika tiada maklum balas, kami akan membawa perkara ini ke mahkamah," kata Hanipa, yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Beliau juga berkata, tiada keperluan untuk Mat Sabu menafikan 10 bukti yang didedahkan KDN pada minggu lalu kerana ia tidak relevan.

"Mengikut undang-undang, beban bukti tiada pada Mat Sabu. Beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Jika dia (Zahid) mempunyai kesemua bukti, bawa bukti itu ke mahkamah dan pertahankan justifikasinya," kata Hanipa.

Pada minggu lalu, KDN dilaporkan sebagai berkata, meminta Mat Sabu untuk tampil dan menyangkal bukti yang mengaitkannya dengan ajaran Syiah.

"Tiada istilah konsep menyangkal dalam undang-undang. Ia sama ada anda membuktikan ia atau tidak. Itu saja," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan