Malaysia Perlu Cergaskan Semula Sains - Najib

Diterbitkan: Rabu, 18 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bergambar bersama penerima anugerah Felo Kanan 2013, Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron (kiri) dan Dr Chia Swee Ping pada majlis pemberian Fellowship Akademi Sains Malaysia 2013 di Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bergambar bersama penerima anugerah Felo Kanan 2013, Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron (kiri) dan Dr Chia Swee Ping pada majlis pemberian Fellowship Akademi Sains Malaysia 2013 di Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mencergaskan semula bidang sains agar mampu menjana idea baharu dan strategi yang dapat menghasilkan kekayaan dan pekerjaan untuk rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar ia tidak mampu menjaga kebajikan rakyat, melainkan ia membangunkan dan melestarikan dasar sains dan teknologi yang kukuh.

"Malaysia mempunyai komitmen yang tinggi untuk pembangunan sains dan teknologi," katanya di Majlis Penganugerahan Fellowship Akademi Sains Malaysia 2013 dan pengumuman 'Top Research Scientists Malaysia' (TRSM) 2013, di sini malam Selasa.

Najib berkata sains dan teknologi adalah instrumen yang berkuasa dalam perubahan sosial yang kesannya kepada pemodenan bukan sekadar peningkatan teknologi tetapi juga mengubah kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Isunya kata beliau, apa juga yang dikemukakan oleh komuniti saintifik mesti pada akhirnya membawa impak positif kepada kehidupan rakyat.

"Saya sedar ini tidak akan berlaku dalam tempoh semalam, akan tetapi pelan komprehensif yang menangani isu-isu mendesak, digabung dengan keperluan masa hadapan, perlu digubal untuk meletakkan sains sebagai enjin utama dalam kemakmuran ekonomi negara kita," kata Najib.

Beliau juga mengiktiraf peranan penting organisasi seperti Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam menjana idea untuk kerajaan mencapai agenda membina negara yang teguh dan makmur, serta menjadi negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri juga berharap menerusi sistem tadbir urus sains yang ditambah baik, penyelidikan dan pembangunan di pelbagai kementerian serta agensi kerajaan serta sektor swasta, akan lebih berfokus dan berkoordinasi.

"Saya mengalu-alukan input yang konstruktif daripada anda semua ketika kita menuju ke arah mencapai aspirasi negara dan untuk itu saya mengharapkan kerjasama yang berterusan daripada komuniti saintifik," katanya.

Dalam majlis itu Najib turut menyampaikan anugerah Fellowship ASM kepada dua felo kanan akademi tersebut iaitu Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Tan Sri Dr Yusof Basiron dan ahli fizik teori Dr Cheah Swee Ping serta 19 felo baharu ASM. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan