Kehilangan MyKad Akibat Banjir Tidak Perlu Laporan Polis - JPN

Diterbitkan: Rabu, 18 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mangsa banjir yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada Mykad disebabkan bencana banjir boleh terus membuat yang baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa laporan polis.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said berkata kebiasaannya setiap dokumen peribadi yang hilang memerlukan laporan polis, namun memandangkan beban dan masalah yang dihadapi mangsa banjir, mereka dikecualikan berbuat demikian.

"Permohonan gantian dokumen pengenalan itu juga akan dibuat secara percuma bagi membantu mangsa banjir yang menghadapi kesukaran.

"Cuma ada soal jawab antara pegawai dan mangsa bagi memastikan mereka memang terbabit dengan banjir," katanya kepada pemberita dalam program 'JPN Dihati Rakyat' di Perkampungan Sungai Isap Dua, di sini, Rabu.

Katanya, program itu merupakan sebahagian daripada tindakan jabatan untuk merakyatkan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, sekiranya mendapat sambutan, JPN akan melanjutkan tempoh pembukaan kaunter bagi permohonan Mykad baharu di Kuantan yang akan turut dilakukan di negeri-negeri lain yang terjejas banjir.

Katanya, proses permohonan Mykad baharu itu juga akan mengambil tempoh seminggu.

Banjir yang bermula 2 Disember lepas di Pahang membabitkan pemindahan lebih 40,000 mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan banjir di sembilan daerah yang terjejas selain turut meragut tiga nyawa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan