Malaysia Berdepan Peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit Secara Serius - Hilmi

Diterbitkan: Selasa, 17 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Malaysia kini berdepan peningkatan masalah penyakit tidak berjangkit secara serius dengan peratusan obesiti, hipertensi dan diabetis semakin ketara setiap tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan terhadap golongan dewasa pada 2006 menunjukkan prevalen obesiti meningkat kepada 14 peratus berbanding 4.4 peratus dalam masa sepuluh tahun sebelumnya, malah kadar itu semakin bertambah menjadi 15 peratus pada 2011.

Beliau berkata bagi penyakit diabetis pula, hampir empat peratus peningkatan direkodkan dari tahun 2006 hingga 2011, manakala hampir tiga peratus bagi penyakit hipertensi pula direkodkan dari tahun 1996 hingga 2011.

Jika tidak dibendung, ia boleh memudaratkan masyarakat malah mampu mengakibatkan pertambahan penyakit lain bagi individu yang menghidap penyakit tidak berjangkit itu, katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan Pidato Siswa Sihat di sini Selasa.

Beliau berkata kurang melakukan aktiviti fizikal dan faktor pemakanan yang semakin tidak menentu dikhuatiri menjadi punca kepada semakin ramai rakyat menghidap penyakit dan golongan muda berumur 18 tahun ke atas pula kini antara penyumbang kepada pertambahan peratusan itu.

Dr Hilmi berkata disebabkan golongan muda kini cenderung menghidap penyakit tidak berjangkit itu, kementerian mengambil langkah lebih proaktif dalam membendungnya dengan melaksanakan pelbagai pendekatan kesedaran terhadap golongan itu.

Katanya pemerkasaan Program Siswa Sihat Kementerian Kesihatan yang dijalankan sejak 2011 di institusi pengajian tinggi adalah langkah terbaik untuk menggalakkan golongan muda membudaya amalan hidup sihat dan pendekatan pendidikan rakan sebaya menerusi program itu lebih berkesan mewujudkan kesedaran tersebut.

"Kempen seperti berjalan 1,000 langkah sehari, penerapan program cara hidup sihat dan pertandingan pidato siswa sihat setiap tahun adalah antara langkah yang diperkasa KKM bagi menyedarkan golongan muda mengenai kepentingan menjaga kesihatan mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan