Genting Malaysia & ECER Bangunkan Semula Resorts World Genting

Diterbitkan: Selasa, 17 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd (GENM) dan entiti kumpulannya (GENM Group), berganding babu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), untuk memulakan satu pelan induk besar 10 tahun bagi pembangunan semula Resorts World Genting (RWG) dengan kos RM5 bilion.

GENM Group dan ECERDC menandatangani satu Memorandum Persefahaman pada 16 Disember bagi pembangunan semula RWG itu, yang dikenali sebagai cadangan Pelan Pelancongan Bersepadu Genting (GITP), yang dijangka dilaksanakan berperingkat-peringkat.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama dan memanfaatkan bidang kepakaran, kekuatan, pengalaman dan sumber masing-masing, serta berkongsi maklumat faedah bersama bagi pembangunan GITP, kata GENM dalam satu kenyataan, Selasa.

"Peranan ECERDC ialah memberikan bantuan kepada GENM Group, termasuk penyelarasan dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dari kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Ia akan juga memberikan insentif cukai berkaitan apabila GENM Group memenuhi syarat-syarat kelayakan dan terma-terma pakej insentif yang diluluskan," jelas Genting Malaysia.

Cadangan GITP, yang ditetapkan sebagai satu Projek Permulaan di bawah bidang kuasa ECERDC itu, dijangka memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar, menjana peluang-peluang keusahawanan dan guna tenaga, selaras dengan sasaran Koridor Ekonomi Pantai Timur dan pelancongan Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan