Perlis Bakal Jadi Negeri Pertama Miliki Capaian Internet Berkelajuan Tinggi

Diterbitkan: Isnin, 16 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Perlis bakal menjadi negeri pertama yang memiliki capaian Internet berkelajuan tinggi sepenuhnya apabila kemudahan Pelan Jalur Negara di negeri itu siap menjelang 2016.

Menteri Besar, Azlan Man berkata, fasa pertama projek itu dilaksana bulan ini dengan nilai pelaburan keseluruhan RM49.2 juta.

Inisiatif itu bagi membolehkan capaian Internet mencapai kelajuan sehingga 20 megabit sesaat seperti yang dikehendaki oleh pelabur, katanya ketika membentangkan Bajet 2014 Perlis, di Dewan Undangan Negeri, di sini Isnin.

Beliau juga mengumumkan semua penjawat awam negeri itu akan menerima bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500.

Terdahulu, Azlan berkata bajet bertema 'Kemakmuran Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Ke Arah Perlis Maju 2015' itu memperuntukkan RM188.84 juta bagi perbelanjaan mengurus dengan anggaran hasil RM82.77 juta.

Sekalipun ini bajet defisit, kerajaan negeri memfokuskan kepada usaha merancakkan ekonomi, memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, katanya.

Antara projek ekonomi yang dirancang ialah ternakan ayam bersepadu dengan kos RM270 juta yang akan menyediakan 700 peluang pekerjaan selain beberapa projek pembangunan lain, katanya.

Azlan berkata, untuk bidang pertanian pula kerajaan negeri memperuntukkan RM4.97 juta bagi pembangunan industri padi, buah-buahan dan sayur-sayuran, selain RM1.1 juta untuk meningkatkan amalan teknologi tanaman padi secara pakej bagi mencapai sasaran lima tan sehektar.

Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM3.82 juta untuk bidang ternakan dan perikanan.

Beliau berkata, untuk memajukan lagi perikanan, kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi bagi membangunkan Pelabuhan Perikanan Antarabangsa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuala Perlis.

"Untuk kesejahteraan rakyat pula, sebanyak RM7 juta diperuntuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi penyaluran bantuan kepada lebih 4,300 penerima," katanya.

Menurut Azlan, kerajaan Perlis juga akan membina dua masjid, iaitu di Bintong dan Batu Dua Lama, selain menjaga kebersihan sumber air dengan peruntukan RM11.7 juta.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2.7 juta untuk membaik pulih sistem saliran bagi menangani masalah banjir, katanya.

Mengenai sukan pula, beliau berkata bagi memastikan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2014 berjalan lancar, kerajaan negeri sedang membina dan menaik taraf fasiliti sukan menerusi peruntukan berjumlah RM76.17 juta.

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM3.28 juta kepada Majlis Sukan Negeri untuk persiapan Sukma, termasuk RM1.45 juta bagi pembangunan atlet," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan