Melaka Cadang Wujud RKK Melaka World Solar Valley

Diterbitkan: Isnin, 16 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Kerajaan Negeri Melaka bercadang mewujudkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Melaka World Solar Valley di Rembia di sini dalam usaha menjadi bandar teknologi hijau bertaraf dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata RKK tersebut merupakan pembangunan kawasan lembah suria yang mengaplikasikan tenaga suria sebagai alternatif utama di dalam aktiviti perbandaran untuk semua sektor.

Beliau berkata pembangunan kawasan seluas 8,043.4 hektar tersebut meliputi pengembangan guna tanah termasuk pembinaan Pusat Penyelidikan Pembangunan Inovasi dan Pengkormesilan (RDIC); masjid suria dan stesen mengecaj kenderaan elektrik.

"Dengan kewujudan RKK Melaka World Solar Valley ini, dijangkakan sebanyak 45,000 peluang pekerjaan dapat ditawarkan," katanya pada majlis perasmian Draf RKK Melaka World Solar Valley di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Sazali Muhamad Din.

Justeru, katanya kerajaan negeri Melaka mengalu-alukan penyertaan orang ramai khususnya rakyat negeri itu untuk memberikan maklum balas terhadap cadangan pembangunan RKK berkenaan.

Beliau berkata orang ramai boleh meneliti draf RKK tersebut yang dipamerkan selama empat minggu di Majlis Perbandaran Alor Gajah bermula 2 hingga 31 Disember ini, mulai 9 pagi hingga 4 petang bagi memberi cadangan dan bantahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan