Semua Bukti Mengaitkan Mat Sabu Dengan Syiah Diserahkan Kepada Jakim

Diterbitkan: Ahad, 15 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BAGAN DATOH: Kementerian Dalam Negeri akan menyerahkan semua bukti yang mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia berikutan kes itu telah masuk ke peringkat penguatkuasaan.

"Segala bukti termasuk bukti Gred A akan diserahkan kepada Jakim kerana kami (KDN) terlibat soal keselamatan manakala soal akidah kita serah kepada pihak berkuasa agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh di sini, Ahad.

Beliau berkata sebarang tindakan berhubung kes berkaitan Syiah dibuat oleh Jakim dan Majlis Agama Islam negeri.

KDN sebelum ini mendedahkan 10 bukti yang dikategorikan sebagai Gred B mengenai pembabitan Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu dengan Syiah.

Bukti kukuh yang dikategorikan sebagai Gred A belum didedahkan kepada umum.

Ditanya sama ada bukti Gred A akan didedahkan kepada umum, Ahmad Zahid berkata bukti itu hanya akan diserahkan kepada Jakim.

Beliau yakin tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa agama terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan fahaman syiah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan