Dilema Pekerja Sedang Bercuti Dipanggil Datang Bekerja

Diterbitkan: Ahad, 15 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Haruskah pekerja dikehendaki datang bekerja walaupun mereka sedang bercuti?

Dengan ketibaan musim cuti perayaan akhir tahun tidak lama lagi, majikan dan pekerja akan berdepan situasi ini.

Majikan mempertikaikan bahawa mereka akan kehilangan peluang perniagaan sekiranya pekerja-pekerja gagal memantau perkembangan berkaitan kepentingan syarikat setiap masa.

Dan mereka menyokong alasan tersebut dengan menggariskan kemajuan teknologi pada hari ini iaitu pekerja-pekerja tiada alasan untuk tidak mengikuti perkembangan terkini syarikat.

"Sekiranya para pekerja tidak merebut peluang yang datang dengan serta-merta, mereka boleh ketinggalan di belakang pesaing masing-masing," kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.

Juga, teknologi ibarat pisau bermata dua - ia membolehkan perniagaan bertindak pantas dalam pasaran dan merebut peluang yang mungkin hadir dengan sendirinya.

Namun, ia juga berita buruk bagi pekerja-pekerja pada hari ini yang mendapati mereka perlu sentiasa mengetahui perkembangan terkini perniagaan syarikat.

"Jika majikan menyediakan telefon pintar dan membayar bil telefon bimbit dan pakej data para pekerja, mereka dijangka akan memberi tindak balas terhadap tuntutan itu setiap masa, walaupun diluar waktu kerja mereka," kata Shamsuddin.

Namun secara keseluruhannya, majikan akan membayar pekerja-pekerja mereka elaun atau memberi cuti tahunan tambahan sekiranya pekerja dikehendaki kembali bekerja ketika sedang bercuti.

Beliau turut menasihatkan para majikan untuk mengimbangi antara kepentingan syarikat dan kesejahteraan pekerja.

"Bercuti boleh menyuntik semangat baru dari segi fizikal dan mental kepada pekerja-pekerja. Ia mempertingkatkan produktiviti.

"Sekiranya majikan mahu pekerja bekerja ketika sedang bercuti, ia harus dilakukan demi keperluan dan masa depan syarikat semata-mata," katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan , sebaliknya, menentang tindakan memanggil pekerja untuk bekerja ketika sedang bercuti atau mengharapkan mereka bekerja pada waktu tersebut.

Beliau berkata, mengharapkan pekerja-pekerja untuk bekerja semasa bercuti mungkin tidak menguntungkan.

"Pekerja bukan robot dan perlu berehat daripada masalah kerja. Sekiranya CEO tidak mahu mendengar kakitangan mereka bersantai di tepi pantai, mereka perlu menunjukkan budi bicara yang sama," kata Khalid.

Memandangkan teknologi membolehkan pekerja bekerja di mana saja, beliau berkata, adalah salah untuk mengharapkan pekerja yang sedang bercuti melakukan sebarang kerja.

Katanya, tindakan itu turut menjejaskan mood percutian di kalangan pekerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), J. Solomon menggesa kerajaan untuk mengambil pendekatan bagi menyekat majikan daripada meminta pekerja-pekerja untuk bekerja ketika sedang bercuti.

Memetik garis panduan undang-undang buruh baharu di Jerman sebagai contoh, beliau berkata, para majikan di negara ini harus dipertanggungjawabkan sekiranya menafikan hak waktu peribadi kakitangan mereka.

"Kita harus mempunyai peraturan buruh serupa dengan Eropah di mana pekerja dijamin keseimbangan dari segi kerja dan kehidupan. Sesetengah majikan di sini mengambil kesempatan terhadap rakyat Malaysia yang rajin dengan mengganggu mereka 24/7 walaupun ketika sedang bercuti dengan keluarga.

"Daripada membayar orang lain untuk standby, majikan mengharapkan pekerja-pekerja mereka untuk bekerja ketika sedang bercuti," katanya.

Beliau berkata, NUBE menerima banyak laporan daripada pekerja-pekerja yang dipanggil untuk datang bekerja pada waktu rehat mereka atau diarahkan untuk standby ketika sedang bercuti.

"Sesetengah majikan yang tidak beretika bertindak di luar batasan dan memecat kakitangan mereka yang enggan datang bekerja malah menggunakan 'bonus pretasi dan promosi jawatan' untuk memanggil pekerja," katanya.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan