Sidang Kemuncak Peringatan Garis Hala Tuju Hubungan Asean-Jepun - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 14 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun yang menandakan ulang tahun ke-40 hubungan Dialog Asean-Jepun, yang berakhir di sini, Sabtu menerima pakai dan meluluskan perkongsian dalam empat bidang yang akan menggariskan hala tuju hubungan Asean-Jepun di masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri Malaysia yang menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai berjaya berkata empat bidang yang dipersetujui oleh semua pemimpin dan terkandung dalam Pernyataan Visi ialah Perkongsian Keamanan dan Kestabilan, Perkongsian Kemakmuran, Perkongsian Kualiti Hidup dan Perkongsian Hati ke Hati.

"Sidang kemuncak telah menggariskan hala tuju masa depan Jepun sebagai rakan kongsi Asean...rakan kongsi setara dengan Asean berdasarkan dokumen penting yang kami telah terima pakai dan diluluskan pada sidang kemuncak," katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel New Otani di sini.

Perdana Menteri berkata sidang kemuncak juga menerima pakai satu pelan tindakan berdasarkan 'Pernyataan Visi mengenai Persahabatan dan Kerjasama Asean-Jepun - Perkongsian Visi, Perkongsian Identiti, Perkongsian Masa Depan', yang mengandungi empat bidang perkongsian yang diterima pakai hari ini.

Najib berkata dalam bidang Perkongsian Keamanan dan Kestabilan, pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan demi kepentingan serantau dan global.

Ia juga antara lain menggariskan usaha untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam penyelesaian pertikaian secara aman termasuk menerusi dialog dan rundingan, tidak menggunakan ugutan atau kekerasan serta mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.

Najib berkata antara lain bidang kerjasama itu juga membabitkan usaha memperkukuhkan kerjasama pengurusan bencana, operasi misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu, pengawalan dan pelucutan senjata, jenayah merentas sempadan dan keselamatan maritim.

"Saya anggap ini sebagai komprehensif...mencakupi keselamatan dan kerjasama menentukan kestabilan termasuk menyelesaikan apa-apa masalah secara rundingan tanpa gunakan kekerasan dan juga keselamatan maritim," kata Perdana Menteri.

Mengenai bidang Perkongsian Kemakmuran, Najib berkata ini turut mengambil kira Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Asean-Jepun dan pelaksanaan Pelan Kerjasama Ekonomi Strategik 10 Tahun Asean-Jepun. Selain itu bidang kerjasama itu turut menggariskan usaha sokongan untuk meningkatkan Kesalinghubungan Asean dan kesalinghubungan serantau serta meningkatkan kesalinghubungan oleh sektor perniagaan, menggalakkan lagi pembangunan ekonomi mampan dan kerjasama berterusan untuk merapatkan jurang pembangunan di rantau ini.

"Ini juga mengambil kira cabang Perkhidmatan dan Pelaburan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Asean yang akan diberi persetujuan sedikit masa lagi. Perkongsian ini juga mengambil kira sokongan dan sumbangan Jepun dalam aspek Kesalinghubungan Pelan Induk Asean dan juga kerjasama yang boleh dimainkan Jepun termasuk dalam bidang IKS," kata Perdana Menteri.

Satu lagi perkara penting dalam perkongsian ini ialah memperkukuhkan kerjasama dalam rangkaian udara dan maritim antara Asean dan Jepun di rantau ini serta memastikan kebebasan dan keselamatan navigasi dan penerbangan mengkut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.

Mengenai Perkongsian Kualiti Hidup, Najib berkata ini telah dijadikan satu cabang penting dalam Pernyataan Visi.

Katanya pemimpin-pemimpin juga komited untuk menggalakkan pembangunan sumber manusia dan menangani isu sosio-ekonomi dan alam sekitar yang antara lain menggalakkan kerjasama dalam sains, teknologi dan inovasi, teknologi maklumat dan komunikasi dan keselamatan siber.

Perdana Menteri berkata perkongsian dalam bidang itu juga termasuk usaha meningkatkan kerjasama untuk membasmi kemiskinan dan menangani cabaran yang timbul daripada perubahan iklim, bencana, urbanisasi dan populasi tua.

Mengenai Perkongsian Hati Ke Hati, Perdana Menteri berkata antara lain Jepun merancang membawa 10,000 belia dari negara-negara Asean untuk melawat Jepun serta mengadakan program pertukaran kebudayaan.

Najib berkata perkongsian ini ialah mengenai usaha untuk menggalakkan pertukaran kebudayaan dan kesenian dan rakyat antara rakyat dalam pelancongan, belia dan sukan serta juga meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan.

Kepada soalan sama ada isu pertikaian wilayah yang sedang berlaku antara China-Jepun dibincangkan dalam sidang kemuncak itu, Najib berkata perkara itu ada disebut dalam konteks Asia Timur.

"...keperluan untuk memastikan kestabilan di rantau ini dan meneruskan rundingan secara aman (dalam menyelesaikan pertikaian)" katanya.

Perdana Menteri juga berkata Jepun turut menyampaikan rasa simpati dengan kejadian banjir yang berlaku di Malaysia yang turut menyebabkan kematian dan kemusnahan. "Tetapi berbanding dengan taufan Haiyan (di Filipina)...Malaysia amat, amat bernasib baik...skala bencana alam itu adalah kecil berbanding dengan Haiyan," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan