Pendaftaran Secara Online Mudahkan Permohonan Rumah Mampu Milik - MB Johor

Diterbitkan: Sabtu, 14 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor sedang membangunkan sistem pendaftaran perumahan secara online bagi memudahkan proses permohonan rumah mampu milik dan kos rendah di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sistem itu yang dijangka siap pertengahan tahun depan diyakini dapat membantu kerajaan negeri menyediakan rumah dengan lebih berkesan kepada rakyat.

"Permohonan secara talian dilihat lebih memudahkan proses permohonan dan merancang projek perumahan berdasarkan kepada keperluan sebenar mengikut kawasan. Ia sekaligus mengelakkan pembinaan rumah melebihi dari permintaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah bagi penempatan semula penduduk Kampung Oren ke Taman Bukit Tiram dan perasmian Klinik Waqaf An-Nur Taman Bukit Tiram, dekat Ulu Tiram, pada Sabtu.

Beliau berkata sistem itu juga membolehkan kerajaan negeri mengetahui kawasan yang memerlukan pembinaan lebih banyak rumah seumpama itu kerana kerajaan tidak mahu penduduk berhijrah dari kawasan asal ke penempatan baru yang terletak jauh dari tempat kerja mereka.

Sementara itu, mengenai penempatan semula penduduk Kampung Oren ke Taman Bukit Tiram, beliau berharap ia dapat mengatasi masalah banjir yang dihadapi penduduk di perumahan asal yang didiami mereka sejak 20 tahun lepas.

"Masalah banjir yang dihadapi 154 penduduk yang menetap di Jalan Melati dan Jalan Kiambang di Kampung Oren berakhir apabila JCorp menerusi Johor Land Berhad membina 154 unit rumah teres kos rendah dua tingkat di Taman Bukit Tiram Fasa 2," katanya.

Rumah berharga RM82,000 itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan