SPRM Optimis Program Latihan Mampu Bantu Negara Asing Perangi Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 13 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin program latihan penyiasatan dan pendakwaan yang dianjurkannya untuk 19 pegawai dari Palestin dapat membantu memerangi rasuah dengan berkesan di negara berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata ia juga menjadi platform bagi perkongsian idea dan pengalaman dalam bidang berkaitan selain dapat membangunkan agensi pencegahan rasuah mereka.

"Saya berharap latihan ini mendedahkan mereka kepada teknik siasatan yang berkesan dan sistem perundangan yang efektif bagi Palestin.

"Sejak beberapa tahun lepas juga kita dapati banyak negara Arab yang membangunkan agensi mereka, meminta bantuan SPRM," katanya dalam kenyataan SPRM pada Khamis sempena majlis perasmian program latihan itu kendalian Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) bermula 3 hingga 17 Dis ini.

Jelas Abu Kassim, latihan yang dibiayai Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) dengan kerjasama Program Teknikal Malaysia (MTCP) itu juga merupakan penyertaan sulung pegawai Palestin yang turut mendapat pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengurus Program Jica Umme Aiman Siddiqi berkata program bersama agensi pencegahan rasuah itu merupakan kerjasama julung kali antara Jepun, Malaysia dan Palestin.

"Kita telah melalui sesi latihan bersama Bank Negara tahun lalu dan bagi model pencegahan rasuah, SPRM dilihat sebagai contoh terbaik dalam memenuhi kehendak selain dapat membantu negara-negara membangun yang lain," kata Umme Aiman.

Sejak penubuhan Maca pada 2006, hampir 1,500 pegawai menjalani pelbagai latihan berkaitan penguatkuasaan antirasuah di peringkat nasional dan antarabangsa sehingga tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan