Isu Fahaman Syiah Bukan Bersifat Sementara - Jamil Khir

Diterbitkan: Jumaat, 13 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Isu melibatkan fahaman Syiah di negara ini bukan bersifat sementara sebaliknya usaha memerangi fahaman itu dilakukan secara konsisten, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Syiah perlu dibanteras kerana Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan bahawa fahaman itu adalah haram diamalkan umat Islam di negara ini.

"Semua fahaman Syiah adalah haram dan bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Fatwa ini adalah untuk semua orang tidak kira parti politik, individu, kelompok, kumpulan dan mana-mana golongan.

"Siapa sahaja umat Islam yang mengamalkan fahaman Syiah (di Malaysia), dia adalah terkeluar daripada apa yang telah difatwakan daripada kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan melanggar Enakmen negeri," katanya selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1434H/2013M di Kelana Jaya pada Khamis.

Jamil Khir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bahawa isu Syiah di negara ini bersifat sementara dan propaganda anti-Syiah akan berkurangan tidak lama lagi berikutan tindakan negara Barat kembali bersahabat dengan Iran.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir mengingatkan semua pengusaha perkhidmatan umrah dan agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah agar bersikap lebih telus serta terbuka dalam mengendali pakej itu, khususnya pada Ramadan.

Ini berikutan pengumuman kerajaan Arab Saudi untuk mengurangkan jumlah jemaah umrah Ramadan kepada 500,000 orang sahaja, katanya.

Beliau menyarankan setiap agensi membuat perancangan dan menguruskan permohonan umrah lebih awal bagi mendapatkan kelulusan visa daripada kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

"Perancangan harus dibuat sekarang kerana pada Ramadan, mereka (kerajaan Arab Saudi) akan selia berapa kelulusan dibenarkan, dan permohonan umrah akan ditutup untuk 15 Ramadan ke atas," katanya.

Jamil Khir juga meminta semua pengusaha perkhidmatan umrah dan agensi pelancongan berkenaan agar tidak memberi jaminan kelulusan visa kepada pelanggan mereka.

"Jangan beri harapan atau janji (mendapatkan kelulusan visa) sebab jemaah meletakkan harapan tinggi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan