Akta Penjagaan Kesihatan Warga Emas Dibentang Akhir 2014 - Subramaniam

Diterbitkan: Jumaat, 13 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Akta Penjagaan Kesihatan Warga Emas yang bertujuan untuk menambah baik peraturan berkaitan industri penjagaan warga emas, akan dibentang di Parlimen menjelang akhir tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Khamis.

Menurut beliau kementerian itu sedang merangka akta berkenaan.

"Akta ini akan menetapkan standard minimum bagi semua perkhidmatan dan sokongan untuk warga emas di negara ini," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Dengan mengambil satu contoh, Dr Subramaniam berkata rumah penjagaan bagi golongan warga emas kini terletak di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta serta dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tetapi, di bawah Akta yang dicadangkan ini, kata beliau, rumah penjagaan yang tidak menyediakan penjagaan kesihatan, perubatan atau penjagaan hospice untuk warga emas, akan didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Apa jua yang mempunyai kaitan dengan perubatan dan penjagaan akan dikawal selia oleh Akta yang dicadangkan ini, yang juga akan menetapkan standardnya," kata beliau.

Sementara itu, Dr Subramaniam juga berkata Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas, termasuk memfailkan saman terhadap kontraktor Hospital Serdang berikutan kejadian runtuhan siling di hospital itu.

"Kementerian tidak menyembunyikan isu ini. Kontraktorlah yang bertanggungjawab terhadap bangunan itu. Kami akan ambil langkah sewajarnya...sama ada mereka bertanggungjawab bagi kejadian itu atau tidak, bergantung pada laporan yang kami terima daripada Jabatan Kerja Raya," katanya.

Menurut Dr Subramaniam, kementerian membuat pemantauan rapi terhadap Hospital Serdang, yang silingnya diperiksa setiap hari bagi mengesan kewujudan "unsur bahaya" dan memperbaikinya dengan segera.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM30 juta bagi kerja menyenggara dan membaiki hospital berkenaan.

"Kami sudah mengenal pasti dua perkara penting iaitu penyokong siling dan isu pemeluapan yang berpunca daripada sistem penyaman udara. Kami sudah memulakan kerja untuk menguatkan lagi sesetengah bahagian dan sedang cuba menghalang berlaku pemeluapan," katanya.

Sejak hospital itu dibuka secara rasmi pada Disember 2005, beberapa kejadian siling runtuh berlaku di premisnya.

Pada 20 Sept tahun ini, sebahagian daripada siling di wad bersalin hospital itu runtuh dan pada 14 Nov, sebahagian siling di unit penjagaan rapi pediatrik pula runtuh.

Pada 30 Jan, 2011, sekeping siling di lobi utamanya runtuh, manakala pada 13 Ogos tahun lepas, tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita cedera apabila 15 keping siling di Jabatan Kecemasan hospital itu runtuh. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan