22,278 Petani, Penternak, Nelayan Terima Kesan Akibat Banjir - Ismail Sabri

Diterbitkan: Jumaat, 13 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seramai 22,278 petani, penternak dan nelayan dipercayai menerima kesan akibat banjir yang melanda Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor, sejak awal Disember lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu berdasarkan anggaran awal kementerian terhadap mereka yang mengalami kemusnahan ladang tanaman, ternakan atau keadaan laut bergelora yang tidak mengizinkan nelayan mencari rezeki.

"Bagaimanapun, kita sedang membuat penilaian daripada segi jumlah kerosakan. Sekarang ini, maklum balas daripada pegawai-pegawai di daerah sedang dikumpul supaya dapat gambaran jelas dan penilaian dibuat terhadap kerugian individu dan keseluruhannya.

"Selepas itu, baru kita akan umumkan daripada segi langkah yang akan diambil sama ada untuk beri bantuan kewangan atau langkah-langkah lain yang difikirkan paling sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelepasan kenderaan agensi-agensi di bawah kementerian untuk membantu mangsa banjir di sini, Jumaat.

Agensi terlibat termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), AgroBank, Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Tekun Nasional.

Menurutnya selain bantuan makanan dan minuman serta barangan keperluan diri, agensi terlibat turut akan menghantar sukarelawan Kor Tani masing-masing untuk membantu kerja-kerja pembersihan.

Malah katanya, peminjam Tekun yang terlibat banjir turut menerima penangguhan bayaran pinjaman dan pemberian bantuan pinjaman tambahan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000, manakala AgroBank turut menawarkan penangguhan bayaran pinjaman kepada peminjam yang terlibat dengan bencana itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan