Bantuan RM500 Akan Diagih Secepat Mungkin - Rohani

Diterbitkan: Khamis, 12 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Bantuan kewangan RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dengan musibah banjir di seluruh negara akan diberikan dalam masa terdekat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata pihaknya kini di peringkat mengemas kini data penerima dan sebaik sahaja ia selesai, senarai itu akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk proses pengagihan bantuan itu.

"Kita sedang mengemas kini senarai nama penerima bagi mengelakkan berlakunya pertindihan dan masalah lain, kita kena tengok betul-betul sebab dalam satu rumah tak semestinya ada sebuah keluarga sahaja, ada satu rumah yang duduk sampai tiga keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Sultanah Pahang Sultanah Kalsom melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini Khamis.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Rohani berkata bagi mangsa banjir yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan itu, mereka diminta supaya segera berbuat demikian bagi mengelakkan nama tercicir.

"Kita pastikan bahawa kita akan berikan senarai penerima ini secepat mungkin kepada MKN melalui Datuk Seri Shahidan supaya MKN boleh membuat pembayaran secepat mungkin kepada mangsa, senarai dah ada, cuma kami minta dua atau tiga hari lagi" katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata MKN bersedia mengagihkan bantuan RM500 itu kepada mangsa banjir sebaik sahaja pihaknya menerima senarai nama penerima.

"Kita hanya tunggu senarai daripada JKM, kalau mereka bagi senarai itu pada Isnin depan, insyaAllah hari Khamis kita sudah boleh agihkan kepada penerima, apa yang penting saya minta mereka yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan