Tragedi Highland Towers: 20 Tahun Berlalu, Peristiwa Itu Masih Menyakitkan

Diterbitkan: Rabu, 11 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gambar fail: Keadaan blok 1 Pangsapuri Highland Towers yang runtuh.
Gambar fail: Keadaan blok 1 Pangsapuri Highland Towers yang runtuh.

DR P.G. George tidak dapat menahan sebak apabila mengimbau kembali tragedi hitam pada 11 Disember 1993.

"Amat menyakitkan apabila kehilangan salah seorang ahli keluarga tetapi kehilangan seluruh keluarga... masih adakah semangat untuk meneruskan hidup?," soal pakar sakit puan berusia 72 tahun itu.

Beliau kehilangan isteri dan dua anak perempuannya masing-masing berusia dua dan lima tahun dalam tragedi runtuhan Highland Towers yang meragut 48 nyawa.

Beliau dan keluarganya baru saja pulang dari India sehari sebelum insiden itu berlaku.

Dr George telah pergi bekerja pada pagi itu dan apabila pulang, beliau hanya melihat sisa runtuhan bangunan tersebut.

Selepas 20 tahun berlalu, kepahitan yang dirasainya akibat kehilangan insan tersayang masih belum hilang.

Tiga bulan selepas insiden itu, Dr George menziarahi kubur isteri dan dua anaknya setiap hari.

"Saya rasa (keluarga saya) bagaikan memanggil saya. Tiga bulan pertama amat menyakitkan," katanya.

Beliau tidak pergi kerja selama sebulan, beliau hilang semangat untuk hidup.

"Setiap kali saya keluar, saya mengharapkan ada kenderaan yang melanggar saya.

"Namun, tanpa pengetahuan saya, adik lelaki saya sentiasa mengawasi gerak-geri saya," katanya.

Keluarga dan dua sahabat rapat Dr George serta paderi sentiasa berada di sisi Dr George.

Beliau turut menerima kata-kata semangat menerusi panggilan telefon dan doa daripada individu tidak dikenali yang bersimpati dengan nasibnya.

Pada suatu malam, seorang paderi membawa beliau ke gereja apabila tiada siapa berada di dalamnya.

"Dia membawa saya ke altar, meminta saya untuk melutut dan berdoa.

"Dia berkata: 'Anda perlu mengerti bahawa di taman, terdapat banyak bunga. Namun Tuhan memetik tiga dan mereka adalah isteri dan dua anak perempuan anda. Jadi, mereka berada di tempat terbaik. Anda perlu gembira dan teruskan hidup.

"Itu anda kata-kata yang membantu saya," kata Dr George.

Dr George berkahwin semula dan mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 14 tahun.

Ia atas permintaan mendiang bapa mertuanya yang mahu melihat beliau berkahwin semula.

Seorang lagi mangsa yang terselamat turut berusaha untuk meneruskan kehidupan, mengetepikan tragedi hitam itu jauh dari kehidupan mereka.

Antaranya, Hilton Lee, 50, dan pengurus bank Sosa Abraham yang berusia sekitar 40-an, masih trauma apabila mereka terdengar bunyi kuat secara tiba-tiba.

Lee yang kehilangan beberapa rakan rapat berkata, kebanyakan mangsa yang terselamat mahu meneruskan kehidupan mereka.

Abraham yang keluarganya tinggal di Highland Towers selama 15 tahun berkata:" Kami hilang semua harta benda, tetapi hidup lebih penting. Amat sukar untuk membina semula kehidupan, tetapi kami ada antara satu sama lain.

Runtuhan awal di Blok A, Highland Towers amat mengejutkan penduduk di kawasan itu.

Abraham dan ibu serta kakaknya, mengikut naluri hati untuk lari menyelamatkan diri.

Abraham dan ibunya tinggal di tingkat tiga Blok A, manakala kakaknya serta suami tinggal di tingkat satu.

"Kami berada di rumah kakak pada waktu itu. Kami terlihat tanah runtuh. Ada orang memberitahu kami terdapat rekahan di bangunan itu.

"Saya beritahu ibu saya bahawa ada sesuatu yang tidak kena, jadi kami membuat keputusan untuk meninggalkan bangunan itu.

"Sebaik saja kami menuruni satu tingkat, bangunan itu sudah runtuh seperti domino," katanya.

Lee yang tinggal di Blok B, mahu mengalihkan kenderaannya selepas runtuhan pertama.

Namun sebaik saja dia memasuki keretanya, dia terlihat Blok A runtuh dalam jarak kira-kira 100m.

"Apa yang saya masih ingat adalah semua orang bertempiaran lari.

"Saya memandu kereta dan memecut laju. Saya meletakkan kereta di tepi jalan dan berjalan ke Blok C, tempat dimana semua penduduk berkumpul.

Zhariff Afandi Yahya, yang berusia 12 tahun ketika itu, berpisah dengan adiknya berusia setahun dan adik perempuannya yang berusia enam tahun kerana dia berada di rumah rakannya di Blok B manakala adik-beradik berada di rumah mereka di Blok A.

"Ibu rakan saya membawa kami keluar dari bangunan itu.

"Perkara pertama yang saya fikirkan adalah adik-beradik saya.

"Saya berlari ke rumah kami tetapi ibu rakan saya menarik saya semula. Saya mengikut mereka dengan berat hati," kata Zhariff.

Dia menangis selama dua jam sambil berfikir dua adiknya mungkin telah terkorban atau terperangkap dalam sisa runtuhan. Tetapi ada berita baik.

"Pembantu rumah kami membawa adik-adik saya keluar dari pangsapuri itu.

"Mereka berlari dalam keadaan tangga di belakang mereka runtuh," Zhariff.

Zhariff mempelajari sesuatu yang positif daripada tragedi itu.

Melihat anggota penyelamat bekerja keras di tempat kejadian, membuatkan Zhariff ingin membantu orang lain.

"Semenjak dari itu, saya menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah di sekolah. Saya mula terlibat dengan kerja-kerja kemanusiaan. Saya juga pergi ke Acheh selama sembilan bulan untuk membantu penduduk di sana," katanya.

Zhariff berkata:'Ia pengalaman lalu, ia adalah tragedi malang, tetapi kita perlu meneruskan kehidupan. Secara peribadi, saya memandang ke hadapan untuk terus hidup daripada mengingat kembali peristiwa itu."

Hari ini, Dr George akan memakai baju-T yang dipakai ketika insiden itu kerana ia satu-satunya yang tinggal selepas tragedi tersebut.

Namun, beliau memanfaatkan peluang kedua dalam hidupnya untuk menyayangi keluarga dan anak perempuannya.

"Apa yang anak perempuan saya inginkan, saya akan tunaikannya.

"Sebelum ini, saya bekerja keras dan tidak meluangkan banyak masa bersama dua anak perempuan saya. Saya juga pergi ke Pulau Pinang hampir setiap tahun kerana dia menyukai negeri itu."

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan