Institut Memandu Diberi Amaran Tidak Naikkan Caj Perkhidmatan - Berita Semasa | mStar

Institut Memandu Diberi Amaran Tidak Naikkan Caj Perkhidmatan

Diterbitkan: Rabu, 11 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Kementerian Pengangkutan memberi amaran kepada Institusi Memandu (IM) di negara ini agar tidak menaikkan caj perkhidmatan terhadap pelanggan walaupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenal sistem penggredan IM terbaik mulai tahun depan.

"Kita percaya sistem penggredan yang akan dilaksanakan itu akan menyebabkan IM meningkatkan tahap perkhidmatan mereka, jadi saya beri amaran kepada kesemua 195 IM agar tidak menjadikan alasan pelaksanaan penggredan itu untuk naikkan caj kerana kos yang dikenakan sekarang ini sudah memadai," kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pameran kenderaan komersial milik Hong Seng Group di Sungai Lokan.

JPJ akan melaksanakan sistem penggredan terhadap semua IM bagi menilai perkhidmatan yang disediakan seterusnya memberi gred berdasarkan bintang untuk mewujudkan persaingan sihat antara institusi berkenaan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad dilaporkan berkata pihaknya telahpun membangunkan sistem khas dengan kriteria yang akan menjadi garis panduan untuk memberi gred kepada IM.

Abdul Aziz berkata JPJ juga akan memperkenal Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang lebih menitikberatkan aspek kesedaran, disiplin dan sikap di jalan raya sebagai usaha mendidik pemandu berhemah. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan