Tragedi Highland Towers: Musa Imbau Kisah Kehilangan Anak & Menantunya

Diterbitkan: Selasa, 10 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gambar fail: Musa ketika berada di tapak runtuhan.
Gambar fail: Musa ketika berada di tapak runtuhan.

KETIKA tragedi petang Sabtu itu, dia sedang mandi manakala isterinya ada bersama dengan anak mereka. Tiba-tiba blok pangsapuri setinggi 12 tingkat itu bergegar.

Dia menyerahkan anak perempuan mereka kepada pembantu rumah dan menyuruhnya untuk menyelamatkan diri.

Pembantu rumah dan anak mereka nyaris gagal melepasi pintu keluar sebelum keseluruhan bangunan itu runtuh.

Bagi Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam, tragedi itu sesuatu yang amat menyakitkan untuk diingati.

Anak lelakinya, Carlos Rashid dan menantunya, Rosina Abu Bakar, terkorban dalam tragedi Higland Towers yang runtuh pada 1993.

"Apabila saya terdengar berita itu, saya berada di Kota Tinggi (Johor) melawat penduduk kampung di sana. Saya bergegas balik. Salah seorang menantu lelaki saya dan pengawal peribadi ada bersama saya tetapi tiada siapa boleh menceritakan perkara sebenar.

"Saya memandu pulang yang mengambil masa hampir tiga jam. Saya dapat merasakan sesuatu yang serius telah berlaku," kata bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 79 tahun itu.

"Apabila tiba di lokasi, saya hanya dapat melihat sisa runtuhan. Soalan pertama saya adalah: Di mana anak lelaki saya?

"Tiada siapa dapat memberitahu saya bahawa dia masih hidup. Apa yang mereka katakan, mereka masih lagi melakukan operasi mencari. Berita baik adalah cucu perempuan saya, Marisa, selamat.

Mayat Carlos dan Rosina berjaya ditemui beberapa hari selepas tragedi 11 Disember itu yang meragut 48 nyawa.

"Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya. Saya masih ingat lagi bekas setiausaha saya berkata: “Saya tidak mahu anda melihat mayat mereka." Dan Musa tahu lebih baik untuk mendengar kata-katanya.

Di sebalik kesedihan itu, Musa kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

"Saya perlu mengaku bahawa apabila sesuatu tragedi berlaku, satu perkara yang saya tahu pasti - walaupun berasa marah - ia adalah disebabkan kecuaian orang yang tidak bertanggungjawab. Saya juga terfikir mengenai wujudnya unsur rasuah dan pengabaian.

"Perkara yang menyedihkan sepanjang 20 tahun adalah tiada apa yang berubah. Terdapat banyak tragedi serupa dan kita yakin semua pihak menyuarakan rasa kesal, marah dan berjanji perkara itu tidak berulang lagi.

"Semuanya hanya cakap-cakap kosong dan tiada apa dilakukan terutamanya dari segi perlaksanaan undang-undang, peraturan dan lebih penting, penguatkuasaan.

"Selepas insiden itu, kita duduk bersama-sama dan bercakap mengenai masa depan Marisa. Pada mulanya, saya dan isteri menganggap adalah lebih baik Marisa tinggal bersama kami.

“Namun selepas setahun dapat menerima situasi ini dan sentiasa sibuk, kami memutuskan adalah lebih baik jika Marisa dijadikan anak angkat dan dijaga oleh anak perempuan saya, Rosana, yang baru saja berkahwin pada ketika itu," kata Musa.

Rosana adalah anak perempuan bongsu Musa, hasil perkahwinan pertamanya.

"Rosana menjaga dan memberi pendidikan kepada Marisa seperti anaknya sendiri. Dia ada dua orang anak sendiri dan membesarkan mereka bertiga tanpa prejudis.

Marisa kini berusia 20 tahun dan merupakan pelajar tahun dua jurusan psikologi di Universiti Sheffield, Britain.

Bagaimanapun, dia hanya mengetahui perkara sebenar mengenai kedua-dua ibu bapanya beberapa tahun lalu.

"Pada hari pertama setiap Hari Raya, adalah menjadi amalan kami untuk menziarahi kubur di mana anak lelaki dan menantu saya dikebumikan. Apabila masa berlalu, kami mula menceritakan kepadanya bahawa itu adalah kubur ibu dan bapanya. Dia mendengar penjelasan kami dan dapat menerimanya.

"Kini dia sudah memahami situasi itu sepenuhnya," kata Musa yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia dan Pengerusi UmLand Bhd.

20 tahun berlalu, Musa masih sukar untuk melupakan tragedi hitam itu.

"Saya masih ingat dijemput oleh Carlos ke pangsapuri mereka untuk makan tengah hari seminggu sebelum insiden itu. Ia amat pelik, tetapi saya masih ingat, terlihat jentolak dari jarak jauh di atas bukit.

“Saya enggan terlalu memikirkannya tetapi ia masih meninggalkan kesan. Mengimbau kembali, ia boleh jadi simbolik: satu amaran sesuatu yang buruk akan berlaku," katanya.

Amat menyedihkan, saat itu adalah kali terakhir Musa bertemu anak lelakinya.

Beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa bersama dengan anak sulungnya itu kerana begitu aktif dalam politik pada ketika itu.

"Kini anak lelaki saya sudah tiada, dan saya ada seorang lagi anak lelaki dan seorang cucu perempuan. Saya cuba meluangkan masa bersama mereka. Saya bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang kedua," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan