Pahang Pertimbang Mangsa Banjir Dikecuali Bayar Bil Air

Diterbitkan: Isnin, 9 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Adnan Yaakob.
Adnan Yaakob.

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang mempertimbang untuk mengecualikan mangsa banjir membayar bil air di sepanjang tempoh mereka ditimpa musibah banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban rakyat yang ditimpa banjir 'luar biasa' beberapa hari lepas.

"Kita akan tengok daripada bulan berapa sampai bulan berapa.

"Saya harap (mangsa banjir) sabarlah. Saya juga sedih melihat kemusnahan yang berlaku akibat banjir dan keadaan yang menimpa mangsa sebab saya tidak ada banyak wang untuk diberikan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan Wisma Belia di sini Ahad.

Seramai 10 pegawai perubatan dan 10 jururawat akan ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan bagi memantau tahap kesihatan dan memberi rawatan segera kepada mangsa.

Turut hadir Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr Abu Hasan Asaari Abdullah.

Adnan dalam pada itu berkata, kerajaan juga akan berusaha mencari mekanisme terbaik untuk memastikan bantuan dapat disalur secara berkesan kepada mangsa banjir berikutan terdapat rungutan berhubung agihan bantuan di pusat pemindahan.

"Bencana banjir kali ini adalah luar biasa dan turut melibatkan bilangan mangsa terlalu ramai di kawasan-kawasan tidak dijangka menyebabkan proses menghulurkan bantuan sedikit bercelaru.

"Oleh itu, kita (kerajaan negeri) akan mendapatkan mekanisme terbaik untuk memastikan semua mangsa terlibat banjir menerima bantuan," katanya.

Katanya lebih 1,000 anggota tentera juga ditempatkan di 16 lokasi terjejas banjir melibatkan lapan daerah di Pahang sejak beberapa hari lalu.

Lapan daerah terlibat banjir di negeri itu ialah Bera, Temerloh, Lipis, Jerantut, Rompin, Pekan, Maran dan Kuantan melibatkan keseluruhan mangsa lebih 40,000 orang.

"Anggota tentera ditempatkan bagi memberi bantuan perubatan serta membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat.

"Tentera juga menghantar tukang-tukang masak untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di semua daerah terjejas," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan