Peningkatan Mendadak Mangsa Dan Masalah Laluan Faktor Bekalan Lewat Sampai

Diterbitkan: Ahad, 8 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir dan masalah laluan penghantaran dikesan sebagai punca bekalan keperluan asas lewat sampai kepada mangsa di pusat pemindahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata bekalan keperluan lewat sampai kepada mangsa ketika banjir mula melanda bukan disebabkan kehabisan bekalan.

"Contohnya laporan yang diterima ada 500 orang di pusat pemindahan, kita bekalkan makanan bagi 500 orang selama tiga hari, tapi dalam masa dua jam bilangan itu bertambah secara mendadak menjadi 1,500 orang, dengan itu maknanya makanan yang dimasak untuk 500 orang sudah jadi tidak cukup.

"Kita juga menghadapi kesukaran menghantar tambahan makanan ekoran laluan yang berselerak dengan kenderaan di tepi jalan yang menghalang lori membawa bantuan ke pusat pemindahan dengan pantas," katanya kepada Bernama ketika meninjau pusat pemindahan banjir di Wisma Belia di sini, malam Sabtu.

Bagaimanapun, katanya, bekalan keperluan di pusat pemindahan sekarang bertambah baik dan cukup untuk menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Muhammad Safian berkata untuk makluman, rekod curahan hujan dari 1 hingga 3 Disember lepas di Kuantan adalah sebanyak 900 mililiter yang bersamaan tiga kali ganda penurunan hujan untuk sepanjang bulan Disember tahun lepas iaitu 330 mililiter yang direkodkan sebulan.

"Bayangkan jumlah hujan pada hari itu, mana-mana sistem perparitan pun tidak akan dapat menampung saluran dengan baik," katanya.

Namun, katanya, berdasarkan kepada pengalaman, langkah penambahbaikan sistem perparitan di bandar Kuantan berjaya menyusutkan limpahan air di beberapa kawasan utama dengan pantas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan