Nga Kor Ming Pengerusi DAP Perak

Diterbitkan: Ahad, 8 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nga Kor Ming.
Nga Kor Ming.

IPOH: Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming pada Ahad dipilih sebagai Pengerusi DAP Perak yang baharu menggantikan sepupunya Datuk Ngeh Koo Ham pada Konvensyen DAP Negeri diadakan di Bukit Merah Lake Town Resort di sini.

Setiausaha Eksekutif DAP Perak, Liew Wai San berkata, pada pemilihan itu Nga yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang berada pada tangga ke-14 daripada 24 calon yang bertanding dengan memperolehi 571 undi manakala Ngeh ditangga ke-15 dengan 565 undi.

"Ngeh dilantik sebagai penasihat DAP Perak," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata, Ketua Dap Perak Wong Kah Woh yang berada pada kedudukan teratas pada pemilihan itu dengan memperolehi 738 undi dipilih sebagai Setiausaha DAP negeri.

Anggota Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang berada pada tangga kedua dengan memperolehi 730 undi dipilih sebagai Timbalan Pengerusi negeri manakala A. Sivanesan yang mendapat 690 undi pula sebagai Naib Pengerusi.

Seramai 797 perwakilan hadir pada konvensyen itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan