Jambatan Taktikal Di Sungai Limbungan Dijangka Dibina Seawal Hari Ini

Diterbitkan: Ahad, 8 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) kelihatan ceria ketika ditemubual oleh pihak media di Kuala Lumpur, Ahad. Turut kelihatan isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku abdullah (dua, kiri) dan anaknya, Faris Hussein. Hishammuddin, 52, dijangka keluar hospital esok selepas dimasukkan ke hospital Isnin lepas setelah mengalami masalah saluran arteri utama jantung tersumbat. -fotoBERNAMA
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) kelihatan ceria ketika ditemubual oleh pihak media di Kuala Lumpur, Ahad. Turut kelihatan isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku abdullah (dua, kiri) dan anaknya, Faris Hussein. Hishammuddin, 52, dijangka keluar hospital esok selepas dimasukkan ke hospital Isnin lepas setelah mengalami masalah saluran arteri utama jantung tersumbat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jambatan taktikal di Sungai Limbungan, Kemaman, Terengganu akan dibina seawal-awalnya hari ini (Ahad) apabila kesemua aset pembinaan tiba di lokasi petang ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Kor Jurutera Diraja yang akan membina jambatan 'Compact 200' itu sudah berada di lokasi bersama Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang berpangkalan di Gemas, Negeri Sembilan.

"Jika tiada halangan, pembinaan jambatan boleh terus dilaksanakan. Pembinaan jambatan ini penting bagi menghubungkan kawasan-kawasan yang terjejas agar operasi penghantaran bekalan makanan, perubatan dan lain-lain keperluan kepada mangsa banjir dapat dilaksanakan," katanya.

Kemaman merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir di Terengganu, dan jambatan taktikal berkenaan perlu dibina ekoran sebahagian daripada lima meter tebing Sungai Limbungan runtuh.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui bersiar-siar dan minum di kafe Hospital Gleneagles di sini hari ini, setelah dimasukkan ke hospital itu sejak Isnin lepas.

Beliau dimasukkan ke hospital itu bagi menjalani prosedur angioplasti selepas disahkan mengalami masalah saluran arteri sempit.

Hishammuddin berkata beliau turut mengarahkan (PAT) Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Menteri Datuk Abdul Rahim Bakri untuk turun padang memantau pemberian bantuan yang disalurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Hari ini Timbalan Menteri (Abdul Rahim) akan ke Kemaman, manakala esok PAT akan turun padang ke Kelantan. Meskipun banjir sudah semakin pulih, saya telah mengarahkan ATM untuk bersiap-siaga menghadapi kemungkinan gelombang banjir yang kedua," jelasnya.

Kata Hishammuddin, Timbalan Menteri dan PAT akan meninjau kawasan-kawasan yang berkemungkinan dilanda gelombang banjir kedua, khususnya dari segi kesiapsiagaan ATM.

"Pada setiap penghujung tahun, kita memang siap sedia untuk menghadapi banjir. Namun pada kali ini banjir yang berlaku lebih serius daripada yang dijangkakan," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan