PM Dedah Jasa Rosmah Mansor Kepada Rakyat Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 7 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mendedahkan mengenai dua jasa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kepada rakyat Malaysia yang belum pernah dimaklumkan sebelum ini.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, "Ada dua jasa isteri saya yang belum saya terangkan, yang tak pernah saya maklumkan sebelum ini," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan perbahasan sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Najib berkata, jasa Rosmah yang pertama adalah ketika insiden serangan Israel ke atas Freedom Flotilla pada tahun 2010 apabila seorang pelajar Malaysia telah disalah anggap sebagai pengintip oleh Kerajaan Mesir dan ditahan dalam penjara.

"Saya minta isteri saya telefon isteri kepada Presiden (Mesir), Hosni Mubarak yang berkuasa pada masa itu, iaitu Suzanne Mubarak supaya pelajar itu dibebaskan. Dalam masa dua jam saja pelajar kita telah dibebaskan," katanya.

Najib berkata, keduanya sewaktu Ops Piramid berikutan pergolakan yang berlaku di Mesir bagi membawa pulang pelajar Malaysia menerusi Jeddah di Arab Saudi untuk pulang ke tanah air.

"Kita tak cukup penerbangan, kita terpaksa minta supaya Kerajaan Arab Saudi membenarkan pelajar-pelajar kita menaiki pesawat Charlie 130 dan turun di Jeddah dan dari Jeddah ke Kuala Lumpur tanpa visa.

"Satu permintaan yang amat sukar diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi tetapi kerana ada 'networking' (rangkaian) dengan keluarga diraja yang telah diusahakan oleh isteri saya, Kerajaan Arab Saudi membenarkan pelajar-pelajar kita," katanya.

Beliau menambah, bukan setakat itu sahaja bahkan Kerajaan Arab Saudi menyediakan dua penerbangan menggunakan pesawat Jumbo 747 secara percuma.

"Jadi, inilah yang nak saya terangkan dan belum pernah saya terangkan tetapi ada juga sumbangan isteri saya kepada rakyat Malaysia," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan