Limpahan Air Banjir Di Bandar Cukai Mengatasi Rekod 1971

Diterbitkan: Sabtu, 7 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Limpahan air melanda Kemaman khususnya di sekitar bandar Cukai dikatakan mengatasi rekod banjir besar di daerah tersebut pada tahun 1971 dan tahun lepas.

Jurutera daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemaman Abdul Razak Ahmad berkata rekod hujan tertinggi itu melebihi 1,161 milimeter (mm) di Stesen Hujan Jabor dan 1,029mm di Stesen Hujan Padang Kubu.

Katanya satu lagi stesen hujan di Air Putih turut mencatatkan jumlah yang tinggi bagi tempoh berkenaan iaitu 712mm.

"Rekod taburan hujan tertinggi di Stesen Hujan Jabor itu menghampiri separuh daripada purata taburan hujan dicatat seluruh negeri Terengganu iaitu antara 3,000-3,500mm bagi tempoh setahun.

"Jumlah kuantiti air bagi tempoh tersebut agak luar biasa berbanding 500mm sahaja di Stesen Air Putih iaitu catatan taburan hujan tertinggi dari 24 hingga 27 Dis 2012 ketika terjadinya banjir tahun lepas," katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bantuan banjir Kemaman, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Anggota Parliman Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Abdul Razak berkata faktor semula jadi adalah penyebab curahan hujan lebat luar biasa melanda daerah ini (Kemaman) selama tiga hari bermula 2 hingga 5 Dis lalu. Kesemua aliran air hujan itu memasuki tiga sungai utama di daerah ini iaitu sungai Jabor, sungai Tebak dan sungai Air Putih sebelum bertemu dan masuk ke sungai kemaman di bahagian hulu, yang mengalir ke kuala di mana terletaknya bandar Cukai.

Katanya limpahan hujan luar biasa itu turut mengakibatkan beberapa kawasan berkepadatan penduduk yang sebelum ini tidak pernah ditenggelami secara kritikal seperti Paya Berenjut dan Mak Lagam menerima kesannya.

"Malah banjir kali juga ditambah dengan faktor air pasang laut besar dari 2 hingga 5 Dis lalu," katanya.

Sementara itu menteri besar berkata segala bentuk bekalan bantuan seperti barangan keperluan dapur, minuman, ubatan, selimut dan barangan asas berkaitan akan disalurkan segera kepada para penduduk terlibat.

"Ini termasuk menggunakan sepenuhnya bantuan logistik daripada Angkatan Tentera Malaysia bagi menyegerakan penghantaran bekalan berkenaan terutamanya di kawasan sukar serta terputus laluan darat," kata Ahmad.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan