Pegang Prinsip 'Bayaran Mengikut Kemampuan Sentiasa Diutamakan' - Wakil Kelantan

Diterbitkan: Jumaat, 6 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno Kelantan hari ini menyarankan kerajaan mengambil roh prinsip 'Rakyat Didahulukan' dengan melaksanakan konsep 'bayaran mengikut kemampuan' dalam langkah dan penggubalan dasar agar tidak membebankan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Wakilnya, Ketua Umno Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata perkara itu harus diambil kira terutama dalam pelaksanaan dasar seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan tarif utiliti.

"Pengecualian perlu dibuat setakat yang boleh, melalui penetapan 'threshold' yang sesuai supaya dasar itu tidak membebankan golongan miskin dan mudah miskin, ataupun menambah kos sara hidup rakyat dengan ketara," katanya ketika membentangkan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung Umno 2013, di sini.

"Biarlah prinsip 'bayaran mengikut kemampuan sentiasa diutamakan'," kata bekas timbalan menteri kewangan itu.

Dalam usulnya yang menumpukan kepada usaha Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Awang Adek turut mencadangkan agenda ekonomi memberi penekanan kepada golongan yang berasakan diri mereka mudah terpinggir daripada arus ekonomi negara.

Perasaan tertinggal ini juga sering dirasai oleh peniaga kecil dan kontraktor kelas F. Kepada golongan ini, 'sentuhan' mestilah meluas dan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran," katanya.

Beliau turut menyentuh tentang dasar ekonomi luar negara apabila menggesa kerajaan berhati-hati dalam memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) agar tidak menggugat kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Katanya kerajaan harus memastikan FTA yang ingin dimeterai tidak memberi kesan negatif ke atas syarikat tempatan, terutama sekali tidak menghalang kelangsungan agenda ekonomi bumiputera.

Awang Adek turut menekankan kepentingan penyertaan sektor swasta dalam menjayakan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera kerana mereka penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Anggaran sumbangan KDNK negara menunjukkan sektor swasta menyumbang 48 peratus, sektor awam (25 peratus), syarikat berkaitan kerajaan (7.5 peratus) dan Petronas lapan peratus, katanya.

"Ini bermakna penyertaan bumiputera akan terus ketinggalan sekiranya penyertaan mereka dalam sektor swasta tidak dapat diintegrasikan," katanya.

Beliau juga berkata syarikat bumiputera berkemampuan harus diberi peluang sebagai vendor dan pembekal kepada syarikat bukan bumiputera.

Selain itu, beliau meminta sistem kuota dan permit untuk menjaga penglibatan bumiputera dalam ekonomi negara dikaji semula bagi tujuan pemantapan selari dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.- BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan