Najib Ucap Takziah Atas Kematian Nelson Mandela

Diterbitkan: Jumaat, 6 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengucapkan takziah kepada Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma atas kematian bekas presiden negara itu Nelson Mandela.

Mandela, bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan dan ikon antiAparteid meninggal dunia di kediamannnya di Johannesburg pada Khamis selepas jangkitan paru-paru sejak sekian lama.

Perdana Menteri dalam mesej takziah beliau kepada Zuma, berkata kematian bekas presiden itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Afrika Selatan dan rantau Afrika tetapi juga kepada dunia.

"Ia merupakan satu kesedihan yang mendalam selepas mendapat tahu kematian Presiden Nelson Mandela. Mendiang Presiden Mandela, seorang negarawan keamanan dan sememangnya anak lelaki yang gagah dan pemimpin yang hebat di Afrika Selatan. Moga rohnya bersemadi dengan aman," kata Najib dalam satu kenyataan.

Najib berkata kehilangan Mandela sudah pasti akan dirasai di banyak tempat di dunia atas pengaruhnya yang berjuang demi kesaksamaan, kemanusiaan dan perdamaian.

Najib berkata kekuatan Mandela dengan karakter, ketabahan dan kualiti kepimpinan memainkan peranan penting dalam mengatasi masa-masa mencabar yang perlu dihadapi Arfika Selatan semasa berjuang menentang rejim aparteid dan pembentukan sebuah negara Afrika Selatan yang demokratik.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang ikhlas dan tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama dan melalui tuan kepada kerajaan dan rakyat Afrika Selatan atas kehilangan yang tragik ini.

"Doa kami adalah bersama dengan rakyat Afrika Selatan, terutama keluarga yang berkabung, dengan harapan bahawa mereka akan mendapat kekuatan dan ketenangan untuk mengatasi kesedihan mereka dalam tempoh berkabung," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan