Yakinlah Umno Tempat Bergantung Bagi Rakyat Dan Negara - Najib

Diterbitkan: Khamis, 5 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib Tun Razak menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.
Najib Tun Razak menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno sahajalah tempat rakyat termasuk orang Melayu boleh bergantung bagi menjamin masa depan mereka dan negara berdasarkan rekod pencapaian parti dan kemampuannya melakar dan melaksanakan transformasi untuk terus berada di hadapan.

Perdana Menteri berkata rakyat tidak boleh mengharapkan pembangkang untuk menggalas tugasan berat itu kerana mereka lebih berminat untuk mencari kepentingan peribadi yang sempit di samping membuat janji kosong dan menabur fitnah.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2013 pada Khamis, Presiden Umno itu berkata perhimpunan Umno selama ini sememangnya menjadi platform bagi agenda Melayu dan Bumiputera dijulang dan usul-usul berkaitan diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelan tindakan.

"Di sinilah UiTM (Universiti Teknologi MARA) dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah institusi-institusi Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.

"Selain itu, di sinilah kementerian-kementerian strategik yang membela untung nasib orang Melayu dan Bumiputera digagaskan, di sinilah syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang Melayu menghitung masa depan keturunan mereka," katanya dalam ucapan dasar bertemakan "Mewajah Masa Depan".

Perhimpunan itu dihadiri hampir 3,000 perwakilan parti dari 191 bahagian.

Turut hadir dua bekas perdana menteri dan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib yang berbaju Melayu berwarna merah dan bersamping songket merah memberikan analogi Umno seperti besi kersani dalam memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera.

"Seperti besi kersani yang tidak tersepuh dengan saja-saja malah dibakar, dilebur dan diasah menjadi waja yang gagah berani," katanya.

Beliau berkata Umno dan perhimpunan agung parti itu sahajalah tempat utama untuk merungkai persoalan melibatkan orang Melayu seperti:

* Di manakah suka duka bangsa Melayu nak diperbicarakan?

* Di manalah orang Melayu nak mencurah rasa?

* Di manalah lagi orang Melayu ingin merungkai kesumat dan menyulam dendam tentang nasib bangsa.

* Di manalah lagi keluh kesah orang Melayu hendak dizahirkan.

"Kemanalah orang Melayu hendak membawa diri, jika Umno sudah tiada lagi.Kemanalah perginya hati, ke mana hilangnya rasa, kalau perjuangan umat Melayu sudah tidak berkumandang lagi. Relakah kita perjuangan Melayu terhapus di bumi ini?

"Sanggupkah Melayu akhirnya merempat dan terbangsat di tanah sendiri? Tanpa Umno dimanakah kita? Tanpa Umno di mana sudahnya Melayu? tanya Najib.

Pembangkang, kata Najib, sebaliknya sanggup menjadi pengkhianat dan petualang kepada kepentingan negara.

Beliau berkata, sebagai contoh, negara kehilangan hampir RM40 bilion pelaburan asing dari Taiwan untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Penggerang, Johor, kerana sekumpulan pihak pembangkang telah pergi ke negara berkenaan dan menakut-nakutkan para pelabur.

"Saya ingin bertanya, tidakkah perbuatan pembangkang ini satu pengkhianatan kepada rakyat? Tidakkah perbuatan mereka ini satu petualangan kepada kepentingan negara," katanya.

DAP mahu memberhentikan lebih separuh penjawat awam jika mereka memerintah negara ini dan mereka juga telah menghina penjawat awam sebagai kucing kurap.

"Di kala rakyat Selangor sedang menderita akibat masalah air, sampah sarap dan pelbagai isu yang tidak selesai-selesai, pimpinan kerajaan Selangor sibuk pula nak menaikkan gaji masing-masing sehingga 373 peratus," katanya.

Umno, sebaliknya, sentiasa mendahulukan rakyat, menyelesaikan masalah rakyat dan meletakkan kepentingan negara di hadapan.

"Kita bukanlah parti yang suka berbohong dan berdusta, kita bukanlah parti yang jenis cakap tak serupa bikin, kita bukanlah seperti pimpinan pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja sehingga memalsukan kata-kata dan memperdayakan rakyat.

"Bahkan lebih terkutuk daripada itu sampai sanggup berjanji setia untuk menyokong segala usaha demi melindungi keselamatan rejim zionis dan Israel," katanya.

Malah pembangkang tidak berlapang dada menerima kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas yang mengamalkan sistem "first-past-the-post" diamalkan sejak pilihan raya 1959 lagi iaitu parti pertama mencapai majoriti diisytihar menang.

Untuk kefahaman ramai, Najib memberikan analogi perlawanan badminton "Najib melawan Anwar atau Anwar melawan Najib".

Dalam set pertama Najib menang 21-15, dalam set kedua Najib kalah 5-21, tetapi set penentu Najib menang 21-16.

"Tentulah dalam perlawanan ini, memenuhi peraturan, pengadil mengisytiharkan Najib menang. Tetapi Anwar membantah tak setuju kerana katanya jumlah mata terkumpul beliau adalah 52 berbanding Najib 47. Mana boleh kira macam tu, tak betul tu. Kita ada sistem, kita main ikut set. Siapa menang majoriti, dialah juara," katanya.

Najib menyatakan perkara berkenaan kerana walaupun BN mendapat 112 daripada 222 kerusi tetapi pembangkang mendakwa kononnya mereka sepatutnya menubuhkan kerajaan pusat kerana memperoleh undi popular 51 peratus. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan