Khairy Cadang Aset Negara Diaudit Pastikan Ada Kapasiti Kesan Pengintipan

Diterbitkan: Rabu, 4 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairy berucap sempena Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.Foto: GLENN GUAN/The Star
Khairy berucap sempena Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.Foto: GLENN GUAN/The Star

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya pengauditan dilakukan terhadap aset negara bagi memastikan ia mempunyai keupayaan untuk mengesan aktiviti pengintipan oleh negara asing.

Beliau berkata, pengauditan itu boleh dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Kita boleh mengutuk, boleh respon kepada negara-negara lain (kerana mengintip Malaysia) tetapi kalau kita tak dapat nak sekat sebab teknologi dan keupayaan aset negara jauh ketinggalan maka tak ada gunanya.

"Maka Majlis Keselamatan Negara perlu segera menjalankan satu pengauditan terhadap aset kita yang dapat mengesan pengintipan yang dituduh berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap sempena Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika perlu, negara harus melaburkan wang untuk menambahbaik sistem mengesan dan memantau pengintipan asing.

Khairy berkata, jika aset negara tidak mencapai ke tahap yang canggih untuk mengesan pengintipan maka insiden berkenaan boleh berulang dan berlaku pada bila-bila masa.

"Sekarang ini kita perlu mengutamakan kerahsiaan kerajaan. Ada banyak kes melibatkan negara-negara asing dengan tuntutan wilayah, kepulauan dan sebagainya. Dan kita tak mahu rahsia kita semua terkeluar kepada negara asing," katanya.

Terdahulu, Khairy dalam ucapannya berkata, Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya terhadap negara-negara asing yang dilaporkan mengintip Malaysia baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa jangan sesekali ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas diplomasi dan semangat persahabatan yang Malaysia tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa.

"(Dan) kita (Malaysia) tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh dalam soal mempertahankan kedaulatan negara," tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan