Unit Risikan Khas Masih Diperlukan - Wan Junaidi

Diterbitkan: Selasa, 3 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih memerlukan unit risikan termasuk Cawangan Khas (SB) supaya negara tidak ketandusan maklumat penting terutama berkaitan keselamatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan itu masih diperlukan bagi menjalankan risikan dari pelbagai sudut walaupun negara tidak lagi berdepan dengan peperangan.

"Kalau ada yang kata perkhidmatan mereka (unit risikan) ini tidak lagi diperlukan untuk negara yang sudah tidak berdepan dengan peperangan, bagi saya ini satu tanggapan salah.

"...walaupun ada yang kata SB tidak penting kerana zaman komunis sudah tamat, funding (pelaburan) risikan ini mesti diteruskan supaya kita tak ketandusan maklumat. Kita (orang biasa) sendiri tidak dapat lihat maklumat-maklumat sedemikian (risikan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, Selasa.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata cadangan untuk menubuhkan beberapa unit risikan bebas lain seperti Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) di Amerika Syarikat adalah tidak perlu.

"Kalau kita memperkasa SB termasuk risikan ketenteraan sedia ada, kita yakin ia sudah mencukupi (menjalankan kerja-kerja risikan)," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan