Tumpuan Pada Pertemuan Chua Dengan Penyokong Esok

Diterbitkan: Selasa, 3 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kini tumpuan adalah pada pertemuan Rabu antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan para penyokongnya di mana beliau dijangka mengumumkan pendiriannya berhubung jawatan tertinggi parti itu.

Sumber-sumber dalaman parti percaya Dr Chua kemungkinan tidak akan mempertahankan jawatannya tetapi akan mencari jalan bersama penyokong-penyokongnya untuk mencari kata sepakat di kalangan calon-calon yang bertanding.

Pemilihan kepimpinan tertinggi MCA ditetapkan pada 21 Dis dengan pencalonan pada 16 Dis, sementara pemilihan bagi sayap Pemuda dan Wanita masing-masing adalah pada 19 dan 20 Disember.

"Kami akan bertemu dengannya pada pukul 1 tengah hari pada Rabu dan beliau mungkin memanggil persidangan akhbar pada pukul 3 petang hari yang sama. Bagaimanapun, semuanya terpulang pada hasil daripada pertemuan esok," kata pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew apabila dihubungi Bernama.

Sehingga ini, tiga orang iaitu timbalan presiden MCA dan bekas menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, naib-presiden Gan Peng Shieu dan bekas presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat telah mengumumkan hasrat mereka untuk merebut jawatan tertinggi parti itu.

Bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden Datuk Donald Lim dan ketua pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding bagi jawatan itu sementara ramai lagi pemimpin telah menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding jawatan naib presiden dan kerusi jawatankuasa pusat.

Liow dan Wee telah bersepakat dalam bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua parti itu.

Timbul desas-desus yang Dr Chua cuba menjadi orang tengah di kalangan mereka yang bertanding untuk mengurangkan tentangan dalaman dan mengelakkan persaingan sengit tetapi usaha beliau itu menemui jalan buntu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan