Perhimpunan Agung Umno Bincang Kepentingan Rakyat

Diterbitkan: Selasa, 3 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saban tahun, Perhimpunan Agung Umno ditunggu banyak pihak, khususnya perwakilan untuk membincangkan kepentingan rakyat terutamanya untung nasib orang Melayu serta hala tuju tonggak parti Barisan Nasional (BN), yang memerintah Malaysia.

Melihat kepada landskap politik dan cabaran semasa, perhimpunan agung parti terbesar orang Melayu ini seharusnya menjadi wadah menterjemah kesungguhan Umno dalam memperteguh kelangsungan parti agar ia kekal relevan.

Kali ini, Perhimpunan Agung Umno 2013 mencuri tumpuan sementelah ia merupakan perhimpunan pertama setelah menempuh perjalanan getir pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas dan pemilihan parti Oktober lalu.

Memenangi sejumlah 88 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 133 kerusi yang dikuasai BN pada PRU-13, Umno masih lagi menjadi pilihan majoriti orang Melayu dan kewibawaan Umno diyakini dapat mengangkat idealisme dan aspirasi rakyat.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, rata-rata pemerhati politik juga berpendapat perhimpunan agung menjadi platform untuk memperhalusi strategi dan tindakan yang akan diambil dalam mencatur kedudukannya di persada politik demi memastikan Umno tampil cemerlang pada masa hadapan.

Maka tidak hairanlah, menurut Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh, ramai anggota dan penyokong parti dari luar bandar, yang hati mereka masih tebal dengan semangat cintakan parti dan bangsa, sanggup bersusah payah datang ke ibu kota.

"Mereka melihat perhimpunan agung sebagai satu tempat yang cukup meriah untuk mendengar suara-suara orang Melayu lantang membicarakan tentang hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan. Sebab itu ia menarik banyak perhatian orang nak tengok.

"Orang luar bandar memang amat 'looking forward' (ternanti-nanti) untuk hadir ke perhimpunan agung kerana terjemahannya sewaktu pilihan raya, kekuatan Umno dilihat datang daripada akar umbi, khususnya dari kampung-kampung," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), venue Perhimpunan Agung Umno 2013.

Meskipun keputusan pengundian di kawasan bandar berbeza dengan luar bandar, beliau berkata penduduk bandar juga banyak menyokong Umno.

Ab Rauf, yang memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Melaka pada pemilihan Oktober lepas, berkata anggota parti juga ingin mendengar sendiri apakah jaminan, perlindungan dan kesejahteraan yang dapat ditawarkan Umno dalam membentuk dan mengekalkan keharmonian antara kaum di dalam negara.

Ini kerana, kata beliau Umno bukan sahaja menggalas harapan besar bangsa Melayu dan Bumiputera untuk mempertahan dan memperkukuh perpaduan rakyat dalam konteks negara majmuk, malah dalam masa sama menjaga kepentingan masa depan seluruh rakyat Malaysia, tanpa menafikan hak kaum lain.

"Perlu dilihat bagaimana Umno yang mengetuai kerajaan dapat melakar hala tuju melalui perhimpunan agung serta melengkapkan kepimpinan kerajaan yang diterajui Umno.

"Yang pasti, Umno tidak pernah mengetepikan perjuangan untuk mengangkat agenda kaum Melayu dan Bumiputera, paling penting tanpa menjejaskan hak-hak kaum lain yang turut terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mengenai topik yang bakal dikupas dalam sesi perbahasan, beliau berkata ia bergantung kepada pembahas usul dan Umno tidak melarang seseorang itu untuk berbahas mengenai apa jua isu khususnya yang berkaitan agama, pendidikan dan ekonomi orang Melayu.

Sebanyak 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara berhimpun di PWTC dengan 2,759 hadir untuk perhimpunan agung pada Khamis hingga Sabtu, manakala 989 perwakilan masing-masing bagi perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, Rabu.

Mungkinkah isu muzakarah PAS-Umno dibangkitkan di dalam perbahasan?

Ab Rauf berkata ia bergantung kepada kematangan pembahas usul sama ada hendak membawa perkara itu untuk perhatian bagi dibahaskan atau tidak.

"Kita lihat Umno ada tiga isu sahaja yang dibangkitkan iaitu ekonomi, pendidikan dan agama...bidang ekonomi juga penting untuk kerajaan bantu orang Melayu melalui pelan transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancar Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata perhimpunan agung kali ini juga diharap dapat membincang strategi dan langkah taktikal awal menghadapi PRU-14.

"Sudah pasti satu daripada cabaran PRU14 kelak menuntut kita melihat dalam pelbagai sudut dan pendekatan baharu kerana pertambahan pengundi baharu juga akan dilihat lebih besar berbanding 2013.

"Dalam suasana politik di zaman siber yang semakin canggih ini, pendekatan kepada pengundi baharu mesti dibuat seiring perkembangan dunia siber, selain program-program yang dapat membantu kepimpinan," katanya.

Umno, yang mengadakan pemilihan parti dua bulan lalu, melihat majoriti anggota Umno menerima baik transformasi politik yang dilakukan pucuk pimpinan tertinggi parti termasuk kaedah pengundian baharu dalam pemilihan parti.

"Kalau kita tengok hasil selepas pemilihan, kita akan nampak perubahan seramai 60 ketua bahagian baharu dipilih untuk menerajui kepimpinan peringkat bahagian, berupaya melengkapkan transformasi ini," kata Ab Rauf.

Bagi anggota Umno, pastinya mereka berharap perhimpunan agung kali ini akan dapat menerbitkan pembaharuan dalam soal kekuatan dan perpaduan dalam parti, merealisasikan proses transformasi yang dilakukan pucuk pimpinan dalam memperjuang dan membela nasib rakyat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan