Kelewatan JKR Siapkan LPT2 Sebabkan Kenaikan Kos RM800 Juta

Diterbitkan: Selasa, 3 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelewatan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiapkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) mengikut tempoh masa ditetapkan mengakibatkan penambahan kos berjumlah RM800 juta dengan menjadikan kos keseluruhannya meningkat kepada RM2.900 bilion.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2012, pertambahan kos ini sebahagian besarnya disebabkan kenaikan bahan binaan yang mengakibatkan harga tender semula beberapa pakej naik mendadak.

"Faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan kos ialah pertambahan bayaran pengambilan tanah, pertambahan kos reka bentuk dan pengawasan, pembinaan plaza tol serta komponen tambahan lain," menurut laporan itu yang dibentangkan pada siri ketiga di persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Pengauditan yang dijalankan dari Jun hingga Disember 2012 turut mendapati secara keseluruhannya, projek pembinaan LPT2 yang diuruskan JKR adalah kurang memuaskan berbanding yang dikelolakan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut laporan itu, setakat Oktober 2012 status pembinaan LPT2 oleh JKR secara keseluruhannya hanya 72.46 peratus berbanding jadual yang dirancang iaitu 80.70 peratus, manakala bagi projek yang diuruskan LLM sudah mencapai 99.30 peratus. "Sehingga Julai 2013, sejumlah RM2.798 bilion telah diluluskan dan sejumlah RM2.028 bilion (72.5 peratus) telah dibelanjakan JKR, manakala LLM pula sehingga Jun 2013, sejumlah RM1.382 bilion atau 98.4 peratus daripada peruntukan asal telah dibelanjakan," menurut laporan itu.

Semakan yang dijalankan Ketua Audit Negara mendapati pada awal perancangan, kos pembinaan per kilometer bagi lebuh raya yang diurus JKR ialah RM11.33 juta berdasarkan harga tender yang jauh lebih rendah berbanding LLM sebanyak RM18.68 juta.

Namun setakat April 2013, akibat kenaikan harga bahan binaan serta kelewatan JKR menyiapkan projek, kos per kilometer yang dikendalikan JKR meningkat kepada RM17.68 juta berbanding RM17.64 juta oleh LLM, menurut laporan itu.

Semakan audit turut mendapati hanya sembilan daripada 16 pakej yang dikendalikan JKR siap.

Dalam maklum balasnya, JKR mengakui projek pembinaan LPT2 mengalami kelewatan antara 11 hingga 19 bulan kerana kekangan peruntukan yang dihadapi Kementerian Kerja Raya yang memerlukan pengesahan daripada Kementerian Kewangan sebelum proses tender semula dapat dilaksanakan.

Laporan turut mendapati terdapat sebahagian pakej lebuh raya yang telah siap namun tidak boleh dibuka kepada awam kerana pakej bersebelahan masih dalam pembinaan. "Setakat Oktober 2012, jarak pembinaan lebuh raya yang telah siap adalah sejauh 37.08km namun hanya 11.58km (31.22 peratus) sahaja yang boleh dibuka kepada orang awam, selebihnya tidak dapat dibuka serta hanya terbiar akibat pembinaan pakej bersebelahan masih belum/lambat disiapkan," menurut laporan itu.

Bagi memperbaiki kelemahan yang dinyatakan dalam laporan ini, Audit mengesyorkan agar kerajaan terutama yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya supaya mengkaji semula konsep pembinaan projek lebuh raya yang dilaksanakan dalam pakej yang kecil dan pendek.

Ini untuk memastikan pelaksanaannya dapat disiapkan mengikut jadual, kos yang telah ditetapkan serta memudahkan pentadbiran dan pemantauan projek.

Audit turut mengesyorkan supaya melantik kontraktor yang benar-benar berkelayakan serta mengkaji semula syarat/peraturan yang terkandung dalam pekeliling sedia ada demi menjamin kepentingan kerajaan. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan