Ibrahim Abu Shah Sokong Usul UiTM Sebagai Universiti Diraja

Diterbitkan: Selasa, 3 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah menyokong penuh usul menaik taraf UiTM kepada Universiti Diraja dibentang dan dibahas pada Perhimpunan Agung Umno 2013.

Ibrahim, yang baharu dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, beliau sentiasa komited untuk memperjuangkan isu tersebut sejak memegang jawatan Naib Canselor universiti itu lagi.

Katanya menerusi status Universiti Diraja itu, UiTM dapat mengekalkan peranan universiti itu yang sinonim untuk golongan bumiputera.

"Dengan status ini juga, saya rasa UiTM akan lebih selamat kerana kekuatan UiTM akan lebih kukuh dan tiada yang mempersoalkannya, itu asasnya dan saya menyokong penuh.

"Tetapi, saya tidak tahu siapa yang akan bawa usul ini kerana saya pun orang baharu dan tidak ditugaskan untuk membuat demikian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini, Selasa.

Cadangan menaiktaraf UiTM sebagai Universiti Diraja diluahkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mahu ia dibahas oleh perwakilan Umno pada perhimpunan tahunan Umno itu yang berlangsung selama enam hari sehingga Sabtu ini.

Mengulas mengenai pelantikannya dalam MT, Ibrahim berpendapat faktor beliau dipilih adalah kerana pengalamannya di dalam bidang pendidikan.

"Walaupun belum diberitahu apakah biro yang akan saya dipertanggungjawabkan, saya punya kekuatan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan," katanya.

Beliau juga berkata bagi merealisasikan harapan Negara Maju, kriteria penting adalah pendidikan asas kerana ia mampu menyemai semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

"Apabila rakyat semua bangsa dapat duduk bersama maka barulah negara ini mencapai ke arah keharmonian dan kestabilan politik, maka barulah kita boleh menjadi negara maju," katanya.

Ibrahim berkata beliau akan sedaya upaya membantu kepimpinan dan anggota Umno untuk sama-sama membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan