Kerajaan Selangor Belum Mulakan 360 Projek Pembangunan Di Bawah RMK10 Pada 2012

Diterbitkan: Isnin, 2 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor belum memulakan 360 projek atau 46.7 peratus daripada 771 projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pada tahun 2012.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, antara projek terbabit adalah empat projek menaik taraf laluan atau jalan melibatkan kos RM170 juta yang belum dapat dimulakan kerana anggaran siling peruntukan di bawah RMK-10 tidak mencukupi dan keutamaan projek adalah rendah.

Selain itu, lima projek dengan nilai tertinggi RM378.62 juta masih dalam perancangan proses tender, menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut laporan itu, dua projek melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah, iaitu projek menaik taraf bangunan dan kawasan sekitar Mahkamah Rendah Syariah Petaling serta projek menaik taraf bangunan Mahkamah Rendah Syariah Sepang masing-masing bernilai RM45,000, telah digugurkan kerana masih menunggu kelulusan Sijil Layak Menduduki.

Sementara itu, sebanyak 409 projek iaitu 53 peratus daripada 771 projek di bawah RMK-10 yang diluluskan telah siap atau sedang dilaksanakan.

Menurut laporan itu, projek yang diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan serta Saliran, merupakan jumlah tertinggi yang masih belum dimulakan atau dalam perancangan atau digugurkan, iaitu masing-masing 194 dan 122.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, pencapaian perbelanjaan pembangunan kerajaan Selangor pada 2012 adalah sebanyak 94.6 peratus.

Menurut laporan itu, kerajaan Selangor perlu memberi perhatian terhadap perancangan dan pelaksanakan projek pembangunan yang cekap dan berkesan bagi meningkatkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan