Hakim, Pegawai Kehakiman Diingatkan Jauhi Rasuah

Diterbitkan: Isnin, 2 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada Isnin mengingatkan para hakim dan pegawai badan kehakiman supaya menjauhi rasuah dan mengelak diri dari tohmahan.

Beliau berkata ini kerana badan kehakiman memandang serius isu rasuah dan tidak mahu disebabkan segelintir yang mengamalkannya, seluruh badan kehakiman akan mendapat kesannya.

Arifin berkata banyak langkah pencegahan telah dikuatkuasakan sebagai usaha mengekang gejala rasuah dari merebak ke dalam institusi kehakiman.

"Proses pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman juga tidak terlepas daripada prosedur pencegahan rasuah. Penapisan rekod calon-calon ini akan dilakukan dengan merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya.

Beliau berucap pada majlis mengangkat sumpah jawatan empat orang Pesuruhjaya Kehakiman di sini Isnin.

Mereka terdiri daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri Datuk Ab Karim Ab Rahman; Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Azhahari Kamal Ramli; peguambela dan peguamcara (Sabah) Mairin Idang @ Martin.

Arifin menegaskan penapisan rekod calon adalah bagi memastikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman hanya dilantik dari kalangan individu yang mempunyai integriti yang tinggi.

Ketua Hakim Negara itu turut berkata beliau masih lagi mendengar desas-desus mengenai salah laku segelintir hakim dan pesuruhjaya kehakiman dan memberi jaminan setiap aduan yang diterima akan disiasat dengan rapi dengan pihak yang berwajib untuk memastikan kebenarannya.

Ditanya media kemudiannya mengenai salah laku itu, beliau berkata antaranya tidak menulis alasan penghakiman dan bercakap kasar di dalam mahkamah.

"Para hakim dan pesuruhjaya kehakiman hendaklah lebih bersopan dengan orang awam semasa prosiding di mahkamah," katanya.

Beliau menjelaskan pada masa ini tidak ada aduan mengenai kes rasuah melibatkan hakim dan pesuruhjaya kehakiman.

"Kalau ada kita (badan kehakiman) akan menyerahkannya kepada pihak-pihak yang berkenaan," katanya.

Di dalam ucapannya, Arifin juga menasihati pegawai badan kehakiman supaya mempertahankan maruah dan integriti badan itu dan tidak sesekali mengambil tindakan yang boleh mencemarkannya hanya semata-mata tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan.

Beliau berkata seseorang hakim itu juga merupakan manusia biasa yang tidak sunyi daripada kesilapan.

Beliau menyarankan supaya rasa ketidakpuasan itu disalurkan melalui cara yang berhemah kerana badan kehakiman sentiasa bersifat terbuka terhadap sebarang kritikan.

"Namun ingin saya tegaskan di sini bahawa mahkamah memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemarkan maruah dan integritinya dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Arifin juga menegaskan kuasa untuk menghukum pesalah kerana menghina mahkamah bukan bertujuan untuk melindungi seseorang hakim, sebaliknya ia berperanan untuk melindungi maruah institusi kehakiman.

Beliau berkata ini bukan bermakna mahkamah tidak boleh dikritik, tetapi kritikan itu hendaklah dibuat dengan tertib dan bukan bertujuan menghina mahkamah.

Ketua Hakim Negara itu juga menasihati hakim dan pegawai kehakiman supaya mengelak daripada membenarkan penangguhan kes dengan sewenang-wenangnya melainkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Perbicaraan secara beransur-ansur perlu dielak sama sekali. Begitu juga keputusan dan alasan penghakiman hendaklah dibuat secepat mungkin," katanya.

Menurut beliau ini kerana rayuan di Mahkamah Rayuan tidak dapat diteruskan tanpa alasan penghakiman dari Mahkamah Tinggi begitu juga rayuan di Mahkamah Persekutuan tidak boleh dijalankan tanpa alasan penghakiman dari Mahkamah Rayuan.

Arifin turut menasihati pegawai badan kehakiman untuk terus bekerja keras bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan dan meningkatkan kecekapan sedia ada walaupun badan itu berjaya melupuskan kes-kes tertunggak melalui beberapa langkah yang telah dilaksanakan.

Beliau juga mengingatkan orang awam termasuk peguam supaya tidak sesekali membuat sebarang kenyataan yang boleh diterjemah sebagai satu desakan ke atas mahkamah semasa sesuatu kes masih lagi dalam proses pertimbangan mahkamah.

"Ini kerana kenyataan sedemikian mungkin akan mengganggu kebebasan badan kehakiman di dalam membuat keputusannya dan untuk kepentingan semua pihak badan itu hendaklah diberi ruang untuk membuat keputusan tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak," jelasnya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan