Kerajaan Selangor Akui Kenaikan Cukai Pintu DBKL Tepat, Akan Kaji Kenaikan Pada Masa Depan

Diterbitkan: Jumaat, 29 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mengakui tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar cukai pintu adalah tepat memandangkan kos perkhidmatan semakin meningkat, malah akan mengkaji berbuat perkara sama pada masa depan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim berkata cukai dilihat tidak boleh dikekalkan pada kadar yang sama selamanya kerana tidak praktikal dalam keadaan ekonomi semasa bagi memastikan perkhidmatan sentiasa berkualiti.

"Kita akui kenaikan cukai di Kuala Lumpur itu betul cuma mungkin kadarnya perlu dilihat semula...di Selangor pula, sudah lama kadar cukai tidak dinaikkan namun kerajaan negeri belum lagi ada rancangan untuk menaikkan cukai ini.

"Tapi jika cukai tidak naik, hasil negeri tidak mencukupi jadi bagaimana kita hendak pastikan pengurusan sampah, sebagai contoh berada pada tahap terbaik," katanya ketika menjawab soalan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat.

Dr Xavier ingin mengetahui adakah kerajaan negeri bercadang menaikkan kadar cukai di Selangor.

Teng turut mengakui kerajaan negeri gagal menunaikan janji dalam manifesto pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) untuk menurunkan cukai pintu premis kediaman dan komersial pada kadar 10 hingga 20 peratus dan berikutan itu, mereka tidak lagi mengulangi janji yang sama pada PRU-13 Mei lepas.

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penggunaan kalimah Allah di negeri ini adalah milik orang Islam sepertimana yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.

"Sultan telah mengeluarkan titah bahawa kalimah Allah bagi negeri Selangor adalah hak orang Islam, maka atas dasar itu tidak perlu kita pertikai lagi dan tidak payah dibincangkan," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai tindakan yang diambil untuk memastikan kesucian kalimah Allah tidak disalahgunakan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan