Kadar Cukai Pintu DBKL Diputuskan Selepas Maklum Balas Rakyat - Tengku Adnan

Diterbitkan: Jumaat, 29 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama timbalannya, Datuk Dr J.Loga Bala Mohan pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, Jumaat. -fotoBERNAMA
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama timbalannya, Datuk Dr J.Loga Bala Mohan pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kadar baharu cukai pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diputuskan selepas mendengar maklum balas daripada pihak berkepentingan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan mendengar daripada semua pihak yang berkenaan dan kita akan membuat satu penentuan untuk kebaikan DBKL dan pemilik-pemilik hartanah.

"Kami bukan mahu menghukum masyarakat tetapi kenaikan itu perlu adil kepada kedua-dua belah pihak (DBKL dan pemilik hartanah)," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini Jumaat.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata DBKL memerlukan peruntukan yang besar untuk menjalankan tugas menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya lestari yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

"Contohnya, kos kutipan sampah sahaja berjumlah RM14 juta setiap bulan dan ini tidak termasuk kemudahan awam yang dirosakkan.

"Kalau anda mahu perkhidmatan yang bagus, anda kena bayar lebih," katanya.

Isu kenaikan cukai pintu DBKL itu tercetus susulan dakwaan beberapa anggota parlimen pembangkang bahawa ada penduduk mengadu kadar baharu yang dijangka dilaksana Januari depan meningkat lebih 200 peratus.

Bagaimanapun Tengku Adnan sebelum ini dilapor menafikan kenaikan setinggi itu dan kadar berkenaan hanya satu cadangan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan