Rujuk PAC Kalau Tidak Puas Hati Pasal K-Pop: Shabery Cheek

Diterbitkan: Rabu, 27 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan berhubung bayaran untuk persembahan artis K-Pop semasa Hari Belia 2012 diminta merujuk terus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery, yang merupakan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, menemui PAC, yang dianggotai Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang, secara sukarela pada 21 November lepas bagi memberi penjelasan berhubung bayaran yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu.

"Saya sudah pergi PAC dan dalam PAC ada tiga orang wakil pembangkang, jadi mereka sudah banyak tanya saya dan saya sudah jawab.

"Malahan saya membuka diri saya untuk ditanya berapa jam lagi. Jadi kalau dia timbulkan isu terbabit, salahkan pada mereka (wakil pembangkang) yang berada di situ, kenapa tidak tanya habis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 2013 IEEE 11th Malaysia International Conference on Communications (MICC 2013) di sini, Rabu.

PAC pada prosiding itu mendapati tiada sebarang salah laku dalam isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop dari Korea Selatan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery.

PAC dilaporkan berpuas hati dengan penjelasan Ahmad Shabery dan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed pula dilaporkan berkata segala pembayaran semasa sambutan Hari Belia 2012 adalah mengikut prosedur pembayaran.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan terkini Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno menjangkakan lebih ramai anggota dan pemimpin PKR keluar parti berikutan kecewa dengan pucuk pimpinan mereka.

Katanya dengan pelbagai siri penipuan, janji yang tidak ditepati serta kepincangan pucuk kepemimpinan, menghakis keyakinan anggota dan pemimpin seterusnya mendorong mereka bertindak keluar parti.

"Pembohongan mengenai 40 ribu warga Bangladesh, pembohongan mengenai pilihan raya umum lepas dimenangi Barisan Nasional berdasarkan penipuan ternyata gagal dibuktikan.

"Ramai (anggota PKR) kecewa dengan sikap pemimpin mereka yang hidup dengan berbohong selain persoalan mengenai cara kepimpinan pucuk parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Komunikasi Malaysia 2013 (MICC 2013) IEEE ke-11 di sini, Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 pemimpin cabang PKR Sabah keluar parti dan menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, MICC 2013 selama tiga hari bermula Selasa menjadi platform penting kepada penyelidik dan pakar di dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat untuk bertukar pendapat dan berkongsi hasil kajian masing-masing bagi memajukan lagi bidang itu di negara ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan