Zambry Tempelak Nizar Kaitkan Kes Gagal Dapatkan MyKad Sebagai Isu Perkauman

Diterbitkan: Selasa, 26 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Selasa menempelak ketua pembangkang yang mengaitkan kes kegagalan seorang kanak-kanak perempuan S.Mahalachime mendapatkan MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai isu perkauman.

Beliau berkata dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah satu kesimpulan dan tuduhan liar di samping anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering itu dilihat cuba menggunakan kes itu untuk mengaut laba politik.

"(Adun) Changkat Jering boleh tuduh kerajaan BN rasis sekiranya kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membetulkannya. Kita pun tidak tahu apa yang berlaku tiba-tiba dia mempunyai satu kesimpulan.

"Ini satu perbuatan dan kesimpulan yang terlalu liar yang diucapkan oleh ketua pembangkang," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau turut mempersoalkan Mohammad Nizar Jamaluddin yang 'mengheret' BN dalam isu itu kerana apa yang terjadi kepada Mahalachime, 12, tidak melibatkan isu perkauman kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Terdahulu ketika membahaskan Bajet 2014 negeri Perak pada Selasa, Mohammad Nizar membangkitkan beberapa isu yang menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan wakil rakyat BN.

Ini termasuk apabila wakil PAS itu mengaitkan kes Mahalachime, 12, yang gagal mendapatkan MyKad daripada JPN kerana paras rupa dan warna kulitnya berbeza dengan ibunya, V. Kamalla, 60, sebagai isu perkauman serta mendakwa kanak-kanak itu dinafikan hak untuk hidup sejahtera sebagai seorang warganegara kerana masalah warna kulit.

Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) kemudian bangkit mencelah mengatakan pandangan Mohammad Nizar itu melanggar Perkara 36 (1) Perintah- perintah Tetap DUN Perak kerana terkeluar daripada topik perbahasan.

Bagaimanapun ia tidak diendahkan Mohammad Nizar yang mempertahankan pandangannya itu dengan memberikan alasan sifat perkauman perlu dikikis sekiranya kerajaan negeri mahu mencapai 'Perak Aman Jaya, Rakyat Sejahtera'.

Speaker DUN Perak Datuk Seri S.K Devamany kemudian menenangkan kedua-dua pihak dan meminta Mohammad Nizar meneruskan perbahasan tanpa menyentuh isu perkauman. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan