Malaysa Perlu Tangani Rangkaian Nilai Global Kian Meningkat - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 26 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembangunan ekonomi Malaysia pada tahap selanjutnya ialah menangani rangkaian nilai global (GVC) yang semakin meningkat bagi memastikan lebih banyak komponen bernilai tambah dikeluarkan dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam membuat gesaan itu, beliau berkata negara perlu mengenal pasti peluang-peluang baharu perdagangan selain memperoleh peserta eksport baharu.

Lebih 50 peratus import pembuatan dunia merupakan barangan pengantara, yang menunjukkan trend kini lebih menekankan kepada GVC, katanya.

"Beberapa isu perlu ditangani dan kita mempunyai komitmen untuk berbuat demikian. Satu lagi isu ialah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

"Kita perlukan R&D untuk melakukan inovasi memandangkan ia penting untuk pembangunan sains dan teknologi, selain pengurusan dan sains sosial," kata Muhyiddin semasa merasmikan Persidangan Unjuran Ekonomi Nasional 2014-2015 selama dua hari di sini, Selasa.

Beliau berkata, tindakan untuk meraih manfaat GVC bergantung kepada dua faktor - penyertaan dan nilai tambah.

"Sesebuah negara mungkin tidak aktif dalam GVC dan ia mungkin merupakan ekonomi bernilai tambah yang rendah.

"Sebaliknya, sesebuah negara mungkin aktif terlibat dalam GVC dan menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi. Negara yang membuat pilihan kedua berada dalam kedudukan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Malaysia mencatat kejayaan besar dalam ekonomi sejak Program Transformasi Ekonomi diperkenalkan pada 2010.

"Pertumbuhan Keluaran Negara Kasar kini lebih kukuh dan stabil, pengangguran dan inflasi kekal rendah dan pelaburan swasta pada paras tertinggi pada 2012," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi dijangkakan kekal melepasi 4.5 peratus pada 2013 dan antara 5.0 dan 5.5 peratus pada 2014, meskipun kedudukan dunia masih lemah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan