Kastam Guna Sistem IT Terkini Licinkan Kutipan GST - Pengerusi PAC

Diterbitkan: Selasa, 26 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia akan menggunakan sistem teknologi maklumat terkini khusus bagi melicinkan proses kutipkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata sistem teknologi maklumat bagi GST itu kini di peringkat akhir pembangunan, yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

"Saya dimaklumkan sistem IT bagi GST akan siap akhir tahun ini...proses dry run akan dibuat selepas itu sebagai persiapan untuk pelaksanaan GST.

"Persiapan awal lebih setahun setengah dari tarikh pelaksanaan GST menunjukkan Kastam telah bersedia dan ia akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kutipan cukai GST akan dilaksanakan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar penjelasan pihak Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung kutipan hasil kepada kerajaan serta persediaan dua agensi sebelum GST dilaksanakan di bilik jawatankuasa itu di Parlimen, di sini Selasa.

GST yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2014 bulan lepas akan hanya mengenakan kadar 6 peratus, berbanding Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dikenakan pada masa ini dengan masing-masing pada kadar 10 peratus dan 6 peratus.

Selain itu, katanya jawatankuasa juga dimaklumkan Kastam sedang menambah baik sistem teknologi maklumat semasa yang digunakan jabatan dalam mengutip cukai yang dijangka dilancarkan pada 2015 dikenali sebagai U-Kastam.

Nur Jazlan berkata walaupun jawatankuasa mendapati adanya kelemahan dari segi penggunaan teknolgi maklumat oleh Kastam, pihaknya yakin pengenalan sistem baharu itu serta sistem yang dibangunkan khusus untuk kutipan GST akan memantapkan pengurusan jabatan dalam proses kutipan cukai.

"Kesimpulan yang boleh dibuat, memang ada kelemahan pada Kastam dari segi penggunaan sistem IT, tetapi mereka sedang menambah baik sistem berkenaan dan yakin ia membantu dalam kutipan GST serta cukai-cukai lain," katanya.

Mengenai LHDN, beliau berkata jabatan itu didapati lebih terkedepan dalam melaksanakan kutipan cukai dengan melaksanakan sistem e-Filing, Sistem Taksiran Sendiri (STS) termasuk potongan lebih teratur melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Berhubung penjelasan agensi itu berkaitan kutipan hasil kepada negara seperti yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012, Nur Jazlan berkata secara keseluruhan jawatankuasa menerima baik penjelasan yang dibuat seperti kelewatan kutipan selepas taksiran dikeluarkan serta bagaimana pemantauan dibuat terhadap kutipan bagi kedai bebas cukai.

Kedua-dua agensi juga dinasihatkan supaya meningkatkan jumlah pembayar cukai, mendidik pembayar supaya sedar bahawa hasil cukai yang dikeluarkan merupakan hasil utama kepada kerajaan bagi digunakan untuk pembangunan negara.

Beliau berkata ketika ini nisbah pembayar cukai kepada jumlah pekerja adalah amat rendah, iaitu kira-kira 15 peratus atau 1.7 juta orang kepada 12 juta pekerja.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata laporan jawatankuasa itu berkenaan Pusat Fidlot Nasional (NFC) juga akan dibentangkan pada Selasa depan, yang antara lain mengandungi beberapa saranan daripada PAC berkenaan projek tersebut yang telah diluluskan jawatankuasa itu minggu lepas.

Pada hari sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bertemu jawatankuasa itu untuk memberi penjelasan berkenaan projek membina loji insinerator yang didapti kurang memuaskan dari segi perjalanan.

"Perkara ini juga penting kerana KPKT akan meneruskan membina lebih banyak insinerator dan untuk memastikan projek yang akan dilaksanakan dibuat dengan lebih baik PAC mengambil keputusan untuk membuat penelitian kepada tiga projek insinerator yang bakal dibina," katanya.

Selepas membina empat insinerator bersaiz mini di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Cameron Highlands, kementerian juga merancang membina tiga insinerator berkapasiti lebih besar di Kuala Lumpur; Sungai Udang, Melaka; dan Bukit Payong, Johor. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan