Ramai Melayu Undi DAP Berbanding PAS, PKR -Dzulkefly

Diterbitkan: Ahad, 24 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad

SHAH ALAM: DAP mendahului sekutu pakatan pembangkang dalam memenangi undi Melayu apabila berjaya menambah sokongan kaum tersebut sebanyak dua peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Sebaliknya PAS yang ahlinya didominasi kaum Melayu mengalami penurunan undi sebanyak dua peratus.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengalami penurunan sokongan undi Melayu pada PRU lalu sebanyak tujuh peratus.

"PAS mengalami penghakisan undi Melayu. Jelasnya impian PAS untuk mengganti Umno sebagai parti tonggak orang Melayu Islam gagal dan masih tertangguh.

"Sementara Umno menambah sembilan kerusi diperingkat Persekutuan kepada 88 manakala PAS sebaliknya kehilangan dua kerusi Parlimen menjadikan 21 kerusi termasuk saya sendiri di Kuala Selangor. Menambah derita PAS apabila kita kehilangan Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati di sini, Ahad.

Beliau menjawab kepada perbahasan yang dibangkitkan perwakilan mengenai penurunan sokongan undi Melayu terhadap pakatan pembangkang khususnya PAS.

Mengulas lanjut Dzulkefly bagaimanapun berkata, penurunan undi Melayu terhadap PAS hanya berlaku kepada beberapa kawasan tertentu sahaja.

"Dari segi kehilangan undi Melayu, walaupun ketara tapi tidaklah separah yang diperkatakan.

"Penurunan undi Melayu terhad kepada kawasan tertentu sahaja dan boleh ditafsir ekoran faktor tempatan dan situasi pentadbiran negeri seperti apa yang berlaku di Kedah.

Menurut Dzulkefly, PAS sebaliknya mengalami sokongan undi Melayu di Terengganu dan Johor.

Selain itu Dzulkefly juga berkata, Muslimat PAS perlu meningkatkan gerak kerja dalam menambah sokongan kaum wanita muda terhadap parti itu.

"Sokongan wanita Melayu juga masih di tahap yang rendah iaitu sekitar 30 hingga 35 peratus sahaja.

"Sokongan ini perlu ditambah dengan program-program khusus untuk golongan ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan