Kerajaan Selangor Keluar Tawaran Akhir RM9.65 Bilion Beli Empat Syarikat Konsesi Air

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan tawaran akhir untuk membeli empat syarikat konsesi air negeri itu pada jumlah RM9.65 bilion dalam satu surat tawaran yang dihantar kepada pengendali syarikat berkenaan semalam.

Empat syarikat konsesi tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd yang meliputi industri air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini, tawaran tersebut adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) demi kepentingan menubuhkan industri air secara holistik di Selangor.

Menurut kenyataan itu, surat tawaran yang dihantar menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) perlu dijawab dalam masa 14 hari atau selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 4 Disember.

KDEB turut menetapkan ekuiti keempat-empat syarikat konsesi air yang memberi pulangan sebanyak 12 peratus dikira sehingga 31 Dis 2012, tidak dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu, akan dibeli kerajaan negeri.

"Tawaran itu juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan itu berkata jika pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut merasakan mereka berhak mendapat jumlah lebih daripada yang ditawarkan, mereka boleh meminta perkara itu untuk dibawa ke timbang tara antarabangsa.

Katanya ia boleh memecahkan kebuntuan rundingan berikutan kerajaan negeri sudah bersedia dengan rancangan pengambilalihan industri air tersebut.

"Tawaran yang dibuat bersesuaian tatkala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri KeTTHA Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan sokongan untuk menyatukan industri air di negeri tersebut menerusi surat yang dihantar pada Jun dan September lalu," katanya.

Abdul Khalid turut berharap pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut dapat menerima tawaran yang dilihat akan memberi pulangan menguntungkan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan