Kerajaan Patut Laksana Sistem Cukai Islam - Abdul Hadi

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: PAS berpendapat kerajaan seharusnya memperkenalkan sistem percukaian Islam yang jauh lebih baik berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, cukai dari segi Islam hanya dikenakan ke atas sesuatu yang mendatangkan keuntungan dan pulangan, bukan atas keperluan dan transaksi rakyat.

"Sistem cukai Islam yang menjadi instrumen kepada sistem ekonomi Islam dapat memastikan kuasa beli rakyat stabil dan kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS kali Ke-59 di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menegaskan PAS tetap dengan pendirian untuk menentang perlaksanaan GST yang diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2014 di Parlimen, bulan lalu.

Katanya, sistem percukaian itu dilihat boleh melemahkan masa depan ekonomi negara dan membebankan rakyat.

"Kita berpendapat bahawa ia diperkenalkan sebagai satu sistem cukai yang salah kerana tidak mengambil kira pendapatan rakyat.

"Mengenakan GST sememangnya baik bagi pandangan ekonomi moden konvensional yang melihat sebelah mata dan yang satu lagi buta hanya memfokuskan kepada pengukuhan 'top fund' negara tetapi memberi kesan buruk kepada rakyat," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2014, bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlaksanaan GST akan dikuatkuasakan pada 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan